
SUBARU REX DEBUT DI JEPUN – MODEL REBADGE RAIZE/ROCKY/ATIVA, HARGA RM60K
Subaru Rex membuat kemunculan kali pertama pada tahun 1972 sebagai sebuah kei-car RWD, sebelum digantikan dengan generasi kedua yang mengguna pakai pacuan roda depan pada tahun 1981.
Generasi ketiga pula hanya bertahan sehingga tahun 1992 sebelum nama Rex digunakan semula pada tahun ini.

Subaru Rex 2023 secara asasnya merupakan model tukar lencana daripada Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa, di mana ketiga-tiga model itu lahir daripada platform DNGA.
Namun Subaru Rex tidak ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda yang sangat sinonim dengan jenama Subaru.
Di Jepun, Rex menggunakan enjin 1.2 liter inline-3 dengan kuasa sekitar 87 hp dan 113 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT dan sistem pacuan roda depan.

Enjin 1.0 liter turbo nampaknya tidak ditawarkan pada model Rex.
Boleh didapati dalam varian G dan Z, harga jualan Rex bermula dari 1,820,000 yen (RM60,337) dan meningkat kepada 2,171,100 yen (RM71,977) untuk versi yang lebih lengkap spesifikasinya.







