Artikel Pilihan

GAZOO RACING BERMULA BILA AKIO TOYODA MENYAMAR UNTUK BERLUMBA DI NURBURGRING

Sejarah permulaan Toyota Gazoo Racing sebenarnya sangat menarik dan wajar dijadikan filem satu hari nanti. Ia bermula bila seorang lelaki dengan beraninya mencabar Timbalan Presiden dan pewaris jawatan tertinggi Toyota, Akio Toyoda.

Lelaki yang dimaksudkan ialah Hiromu Naruse yang memegang jawatan “Master Test Driver” di Toyota. Beliau merupakan seorang pelumba yang berpengalaman luas manakala Toyoda pula ialah cucu kepada founder Toyota dan ketika itu memegang jawatan VP atau Timbalan Presiden.

Selepas Toyota menghentikan pengeluaran Supra, Naruse dikatakan memberitahu Toyoda yang beliau belum layak membuat keputusan untuk sebuah syarikat kereta jika tidak mempunyai kemahiran memandu yang baik. Bukan pandu macam pergi pasar tu tapi ia bermaksud ‘perlumbaan’.

Cabaran diterima dan Toyoda bersetuju untuk belajar teknik perlumbaan dengan Naruse sendiri. Beliau terus jatuh cinta dengan dunia perlumbaan dan mula menyedari yang pasukan perlumbaan F1 Toyota dan NASCARS langsung tidak memberikan faedah dari segi teknologi kepada kereta-kereta keluaran Toyota. Beliau juga sangat teruja untuk menyertai perlumbaan sebenar tapi kehendak beliau ditentang oleh lembaga pengarah syarikat.

Ia bukan satu halangan kepada Naruse dan Toyoda. Pada tahun 2007, mereka mula mengumpulkan sebuah pasukan lumba yang terdiri daripada pekerja Toyota dan para jurutera. Mereka kemudiannya terbang ke Jerman dan membeli seunit Toyota Altezza terpakai dan menyediakannya untuk perlumbaan dengan bajet yang terhad.

Perlumbaan pertama mereka ialah perlumbaan tahan lasak 24 jam Nurburgring. Dan Toyoda menyertainya menggunakan nama palsu: Moriza Kinoshita.

Nurburgring bukannya sebuah litar yang boleh ditakluk dengan mudah dan disinilah kepakaran Naruse menjadi satu kelebihan buat Toyota. Tidak ada pemandu Jepun yang mempunyai pengalaman berlumba di sini dengan rekod sehebar Naruse.

Berita pencapaian mereka tersebar di kalangan pekerja dan lembaga pengarah Toyota dan bermulalah titik perubahan. Pada tahun 2009, keduanya kembali ke litar Nurburgring dengan lebih bergaya menggunakan Lexus LFA terbaru.

Ia merupakan sebuah kereta sports terbaru, dihasilkan untuk perlumbaan dan merupakan impian mereka selama ini. Naruse meneruskan usaha menala LFA sehingga berjaya menyertai setiap dari tahun 2008 hingga 2011. Sayangnay Naruse terkorban pada tahun 2010 akibat kemalangan berhampiran Nurgburgring.

Sebulan selepas menjawat jawatan sebagai Presiden Toyota, Toyoda sudah mengetahui yang mereka memerlukan pasukan perlumbaan khas untuk menghubungkan teknologi perlumbaan dengan kereta jalanan biasa yang macam kita guna setiap hari. Puas hati sebenarnya kalau dapat bekerja dengan Presiden macam Toyoda ni.

Google ads
Back to top button