Buletin

MERCEDES-BENZ A-CLASS FACELIFT 2023 DAPAT KEMASKINI RUPA LUARAN, TRENKUASA HIBRID

Mercedes-Benz akhirnya melancarkan secara rasmi model A-Class 2023 versi facelift yang boleh didapati dalam versi sedan dan hatchback, serta tidak ketinggalan versi prestasi AMG.

Antara perubahan yang dilihat termasuklah rekaan lampu depan dan gril hadapan yang disemak semula, unit lampu belakang LED dan diffuser belakang secara standard, serta beberapa opsyen rim sehingga 19 inci saiznya.

Kemaskini pada ruang kabin pula terdiri daripada roda stereng balutan kulit Nappa, perubahan kecil pada konsol tengah, skrin paparan kluster tujuh inci yang boleh dinaiktaraf kepada skrin 10.25 inci, serta tidak ketinggalan sistem operasi MBUX.

Pembeli model A-Class kini boleh mendapatkan model tersebut dengan trenkuasa hibrid ringan yang telah dikemaskini dengan teknologi 48 Voltan yang mampu menambah 13 hp sewaktu pecutan awal, serta padanan transmisi klac berkembar tujuh atau lapan nisbah kelajuan.

Sementara versi plug-in hybrid pula mendapat motor elektrik yang mampu menambah 7 hp kepada 107 hp secara keseluruhan, serta pengecasan bateri 11 kW AC atau 22 kW DC yang mampu mengecas bateri dari 10-80 peratus dalam masa 25 minit.

Peminat dan pencinta model-model AMG boleh mendapatkan model A 35 AMG (302 hp/400 Nm) dengan bantuan hibrid ringan dan transmisi DCT yang boleh didapati dalam versi sedan dan hatchback, sementara model A 45 (416 hp/500 Nm) hanya boleh didapati dalam versi hot hatch sahaja.

Selain daripada itu, model A 45 S AMG 2023 turut mendapat naiktaraf visual Street Style Edition yang dilayangkan warna Mountain Grey Magno, kit aerodinamik, dan rim hitam kusam bersaiz 19 inci serta angkup brek merah.

Model ‘jalanan’ ini juga turut mendapat decal badan bertemakan retro, serta aksen jingga terang dan trim aluminium pada ruang kabin.

Google ads
Back to top button