Artikel Pilihan

MERCEDES BENZ W204 C250 FACELIFT. MASIH RELEVAN ATAU TIDAK?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan tentang sebuah jentera dari Jerman iaitu Mercedes Benz W204 C250.

Jentera W204 merupakan generasi ke-3 dalam keluarga Mercedes Benz C-Class. Ia mula diproduksi dari tahun 2007 sehingga tahun 2015. Terdapat banyak varian W204 ini, namun pada hari ini kita ingin fokus pada satu varian sahaja iaitu C250 Facelift.

Jentera ini mula memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2011 melalui pengedar sah. Ketika baharu, harga jualannya adalah RM290,888. Hampir RM300,000 dan ianya pada tahun 2011. 10 tahun yang lepas. Jika dikira nilai inflasi sehingga Disember 2020, nilai ini bersamaan RM339,275 sekarang. Data ini didapati melalui CPI Inflation Calculator yang boleh diakses di web Jabatan Statistik Malaysia.

Mahal bukan ? Sekarang kita selusuri bahagian teknikal jentera ini.

Jentera ini dilengkapi dengan enjin 4 Silinder Sebaris Turbo berkod M271 DE 18 AL yang mempunyai sesaran sebesar 1,796cc(1.8L). Enjin ini merupakan enjin edisi terakhir bagi M271. Binaan blom enjin ini diperbuat daripada “Cast Aluminium”, nilai Bore x Stroke pula adalah 82mm x 85mm. Konfigurasi ini menjadikan enjin ini sebagai enjin “Undersquare”.

Kepala silinder enjin ini juga diperbuat daripada alumunium. Konfigurasinya adalah “Dual Overhead Camshaft” atau “DOHC” dan turut dilengkapi dengan sistem “Variable Valve Timing”(VVT). Unit “Camshaft” dipacu oleh “Crankshaft” dengan menggunakan “Timing Chain”. Nisbah mampatan enjin ini berada pada kada 9.3:1.

Sistem bahanapi jentera ini menggunakan sistem “Stratified Charge Gasoline Injection”(CGI) atau lebih dikenali dengan “Direct Injection”. Oleh yang demikian, ini lah maksud sebenar “Emblem” CGI yang biasa anda nampak terlekat di but belakang jentera ini. Sistem pendesak enjin ini menerima set turbo IHI RHF4. Kadar Boost ditetapkan pada 1.1 bar. Boleh tahan untuk “Stock Engine”.

Hasilnya ? Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 201hp pada 5,500rpm dan daya kilas sekuat 310Nm pada 2,000-4,300rpm.

Kuasa yang kuat ini kemudiannya disalurkan ke kotak gear 7-Kelajuan Automatik 7G-TRONIC Plus berkod 722.9. Kuasa seterusnya dihantar melalui “Propeller Shaft” dan ke gandar belakang. Konfigurasi jentera ini adalah pacuan roda belakang.

Jentera ini merupakan model Facelift. Perbezaannya dengan model Pre-Facelift juga agak ketara dan pihak Mercedes Benz menyatakan bahawa kira-kira 2,000 komponen ditukar dari model Pre-Facelift. Yang paling ketara adalah lampu hadapan jentera ini yang menggunakan lampu jenis C-Shape.

Dimensi jentera ini adalah seperti berikut :-

Tinggi – 1,447mm
Lebar – 1,770mm
Panjang – 4,591mm
Berat – 1,505kg

Jika dibandingkan dengan pesaingnya iaitu BMW E90 325i, jentera ini lebih panjang, lebih berat dan lebih tinggi, lebih kurus. Pesaingnya mempunyai badan yang lebih lebar.

Sistem suspensi jentera ini menerima set “McPherson Strut” pada bahagian hadapan dan “Multilink” pada bahagian belakang. Sistem brek pula menerima rotor bersaiz 295mm pada bahagian hadapan dan 300mm pada bahagian belakang. Cukup untuk memberhentikan jentera seberat 1.5 tan ini.

Bahagian dalaman jentera ini menerima pembaharuan daripada model Pre-Facelift. Ia menerima set kerusi diselaputi dengan kulit berwarna hitam. Sepasang kerusi depan boleh dilaras secara elektronik. Roda stering juga menerima pembaharuan dari segi rekaan dan butang kawalan.

Jentera ini juga menerima set papan pemuka yang baru dimana perbezaan ketara dapat dilihat pada corong pendignin hawa, kawalan pendingin hawa dan sistem audio dan “Infotainment”. Senang cakap, bahagian dalaman memang berbeza sama sekali. Penuh dengan ciri-ciri moden.

Dari segi pengendalian, jentera ini makpu dipandu dengan lincah pada masa yang sama mengekalkan tahap keselesaan sepadan dengan ciri mewahnya. Dengan berat sedia ada, jentera ini stabil dipandu laju di lebuhraya sehinggakan pemandu tidak perasan kelajuan sudah melebihi 140km/h.

Jentera ini menggabungkan elemen “Sporty” bersama “Elegance” pada satu masa. Disebabkan itulah rekaan jentera ini kekal relevan dan malar hijau walaupun sudah 10 tahun berada di pasaran. “Wow Factor” jentera ini masih terserlah. Ia juga mempunyai karisma tersendiri dan turut menyerlahkan keperibadian pemiliknya.

Mat saleh kata, “He/She has a good taste”. Disebabkan itu, jentera ini sesuai dipakai tidak mengira jantina dan juga umur.Perlu diingat juga jentera ini adalah anrara jentera “Best Selling” daripada Mercedes Benz. Produksinya begitu banyak serata dunia disebabkan permintaan yang tinggi.

Sekarang, jentera ini boleh didapati di pasaran kereta terpakai dengan harga kurang dari RM100,000. Jujur saya katakan jentera ini masih relevan dan akan kekal relevan kira-kira sehingga 7-10 tahun lagi.

Bila bercerita tentang ketahanan, sekiranya penmilik melakukan rutin servis berkala, tidak timbul masalah besar. Cuma jentera dan enjin ini terkenal dengan masalah gigi “Cam Gear” haus dalam nilai perbatuan kira-kira 100,000km. Proses penukarannya memerlukan masa dan dinasihatkan untuk menukar sekali unit “Timing Chain”.

Dari segi potensi, jentera ini berpotensi untuk ditala dan menjadi lebih berkuasa. Anda boleh menukar sistem masukan udara kepada sistem “Cold Air Intake” dan menukar unit “Downpipe” kepada “Catless Downpipe”. Proses penalaan adalah perlu dan kuasa yang dihamburkan mampu mencecah sehingga 250hp tanpa masalah.

Terdapat juga mereka yang ekstrem dengan melakukan pengubahsuaian turbo dan memaksa enjin ini menghamburkan kuasa sehingga lebih 300hp, nakun tidak banyak. Pada saya, kuasa “Stock” ataupun maksimu 250hp sudah cukup untuk memacu jentera ini dengan lancar.

Harus ingat, peningkatan kuasa datang sekali dengan tekanan kepada enjin dan komponen-komponen lain seperti sistem gantungan dan brek. Adalah dinasihatkan untuk menaiktaraf sekali sedua-dua sistem ini sekiranya anda bercadang untuk menaiktaraf kuasa enjin.

Sekiranya anda berniat untuk memiliki jentera ini, dinasihatkan bawa mekanik mahir untuk memeriksa jentera tersebut atau lebih baik dibawa ke bengkel untuk melakukan “Pre Purchase Inspection”. Proses ini adalah penting untuk menilai kondisi semasa jentera yang bakal anda beli itu.

Google ads
Back to top button