Buletin

MERCEDES-BENZ E-CLASS 2024 ADA KAMERA SELFIE, MBUX SUPERSCREEN, APLIKASI TIKTOK

Mercedes secara rasmi mendedahkan ruang kabin serba mewah untuk E-Class 2024 dengan kod W214 baru-baru ini.

Antara ciri baharu ditampilkan pada ruang kabin E-Class ialah adanya unit kamera selfie atau video, selain terdapat MBUX Superscreen pada papan pemuka.

Menurut Mercedes, kamera selfie atau video itu hanya boleh berfungsi sewaktu kereta tidak bergerak, serta boleh digunakan untuk persidangan video melalui Zoom atau Webex.

Skrin ketiga pula dipadankan dengan teknologi kawalan dwi cahaya (DLC) bertujuan untuk mengurangkan gangguan terhadap pemandu yang boleh dihidupkan atau dinyahaktifkan.

Terdapat juga kamera untuk mengesan sama ada pemandu melihat skrin penumpang. Apabila itu berlaku, tahap kecerahan akan dikurangkan bagi mengurangkan gangguan dan penumpang hadapan masih boleh melihat kandungan walaupun skrin dimalapkan.

Tambahan lain, sistem infotainmen MBUX akan disertakan dengan aplikasi media sosial seperti TikTok, bersama-sama dengan permainan Angry Birds, pelayar web Vivaldi. Manakala portal ZYNC membolehkan pengguna mengakses penstriman video, permainan, berita dan kandungan berbayar.

E-Class 2024 didatangkan dengan pilihan Active Ambient Lighting yang berfungsi bersama sistem audio Burmester 17 pembesar suara untuk menukar pencahayaan secara automatik berdasarkan irama lagu.

Selain teknologi baharu, kita hanya mengetahui perincian lebih lanjut setelah pelancaran rasmi Mercedes E-Class 2024 pada tahun ini.

Google ads
Back to top button