
MERCEDES-BENZ PANGGIL SEMULA MODEL E-CLASS DAN CLS-CLASS
Sebagai sebahagian daripada aspek pemantauan produk di peringkat global, Daimler AG dari Jerman telah berjaya mengesan masalah penutup getah kompartmen enjin pada sejumlah model E-Class dan CLS-Class.
Justeru, Mercedes-Benz Malaysia turut mengambil inisiatif untuk memanggil kenderaan tersebut untuk diperiksa. Menurut Mercedes-Benz Malaysia, hanya sebahagian kecil model E-Class (model Series 212) dan CLS-Class (model Series 218) yang terjejas serta telah dikenal pasti.
Mercedes-Benz Malaysia akan memaklumkan semua pelanggan yang terjejas dan menjalankan kerja-kerja pembaikan menerusi pengedar sahnya mulai pertengahan Mac. Pembaikan itu dijangka mengambil masa kurang satu jam.
“Mercedes-Benz Malaysia berpegang kepada standard keselamatan paling tinggi. Maka kami akan membaiki kenderaan-kenderaan ini secepat mungkin. Kami komited untuk memastikan bahawa pelanggan menikmati pengalaman dan pemilikan yang terbaik,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Roland Folger.
Maklumat lanjut mengenai pemanggilan semula ini, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan Mercedes-Benz Malaysia di talian: 1-800-88-1133 Isnin hingga Jumaat, 9am – 5pm.







