Buletin

HONDA SUMBANG SETENGAH JUTA RINGGIT

Honda Malaysia telah mengumumkan bahawa pihaknya kini terlibat dalam usaha pembangunan semula pasca banjir untuk membantu mangsa-mangsa di negeri-negeri Pantai Timur yang terjejas teruk. 

Honda-flood-donation-2015-mekanika (3)

Honda menyumbang sebanyak RM500,000 dalam usaha membina perpustakaan serta  membeli buku-buku latihan untuk diberikan kepada 48 buah sekolah menengah dan rendah.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Roslan Abdullah bersama kakitangan Honda Malaysia telah melawat Sekolah Kebangsaan Betong, Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan dan Sekolah Menengah Agama Mahmudiah di Terengganu baru-baru ini.

Honda-flood-donation-2015-mekanika (4)

“Kami faham bahawa usaha pembangunan semula pasca banjir merupakan satu operasi besar yang akan memakan masa beberapa bulan untuk disempurnakan. Jadi, sumbangan ini bertujuan untuk meringankan beban dan memberi kemudahan kepada para pelajar yang terjejas akibat banjir.

“Kami berhasrat menjadi sebuah syarikat yang setiap masyarakat mahu ia wujud dalam komuniti mereka dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sosial dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat,” kata Roslan.

Salah satu matlamatnya adalah membantu dalam bidang pendidikan golongan belia. Justeru, Honda berharap pembinaan perpustakaan dan sumbangan buku-buku latihan baharu ini akan menjadi sumber galakan kepada para pelajar untuk terus tekun belajar, biarpun mereka terpaksa berdepan dengan kesukaran.

Honda-flood-donation-2015-mekanika (1)

Honda telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengenal pasti 48 buah sekolah yang terjejas teruk.  Apabila projek ini selesai, lebih 7,000 orang pelajar akan menerima manfaat daripada pembinaan perpustakaan ini.

Lebih dari 2,000 set buku latihan akan disumbangkan kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan-peperiksaan penting seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketika banjir mula melanda negara pada Disember tahun lalu, Honda Malaysia tampil memberi bantuan dengan Program Bantuan Banjir dengan memberi diskaun sebanyak 50% ke atas pembelian alat ganti tulen yang rosak akibat banjir. Inisiatif ini berterusan sehingga 31 Mac 2015.

Maklumat lanjut, sila hubungi talian Tol Percuma Honda di 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button