
MITSUBISHI ASX SAH GUNA PLATFORM CMF-B, ADIK BERADIK CAPTUR & JUKE
Dalam pembentangan roadmap terbaharu oleh Renault-Nissan-Mitsubishi, jenama tiga berlian mengesahkan kehadiran model baharu crossover ASX pada tahun 2023 beserta dengan sebuah teaser.
Serentak dengan itu, Mitsubishi turut mendedahkan crossover tersebut akan dibangunkan menggunakan pelantar CMF-B, bermakna Mitsubishi ASX 2023 akan berkongsi platform dengan Renault Captur dan Nissan Juke.
Sebagai makluman, platform CMF-B juga turut digunakan oleh model-model seperti Renault Clio, Dacia Sandero, serta SUV Renault Arkana.
Platform CMF-B ini mampu menyokong pilihan trenkuasa petrol, diesel, serta hibrid (dan plug-in hybrid) yang mungkin lebih sesuai jika dipasarkan di Eropah.
Berdasarkan gambar teaser, Mitsubish ASX 2023 menampilkan rekaan yang jauh lebih moden, tidak lagi menampakkan elemen Dynamic Shield, diikuti dengan arka roda yang lebih menonjol, serta garis bumbung seakan SUV coupe.
Generasi terkini Mitsubishi ASX muncul buat kali pertama pada tahun 2010, dan kemudian telah didatangkan dengan beberapa versi facelift pada tahun 2012, 2016 dan 2019.



