
MERCEDES VISION EQXX DIPANDU 1202KM SEKALI CAJ, PECAHKAN REKOD LAMA
Sebuah kereta elektrik konsep iaitu Mercedes Vision EQXX berjaya dipandu sejauh 1202km dengan hanya sekali caj sahaja. Ujian pemanduan ini dimulakan di Stuttgart, Jerman dan berakhir di Litar Perlumbaan Silverstone, England merentasi Selat Inggeris.
Rekod ini sekaligus memecahkan rekod lama yang dibuat pada bulan April 2022 dengan jarak perjalanan sejauh 1007km dari Sindelfingen, Jerman ke Cassis, Peranchis. Perjalanan ini mengambil masa selama 2 hari, 14 jam dan 30 minit merentasi lebuhraya autobahn dan juga kesesakan jalan raya di Kota London.
Namun bagi menjimatkan tenaga, penyaman udara hanya dihidupkan selama 8 jam sahaja sepanjang perjalanan. Kembara ini berakhir di Litar Silverstone dengan pelumba Formula E Nyck de Vries memandu EQXX sejauh 11 pusingan pada halaju 140km/jam sebelum jentera ini kehabisan tenaga di hentian.
Jika dipandu pada halaju sekitar 90-100km/jam, jentera EQXX ini dijangka mampu dipandu lebih jauh dengan hanya 1 caj sahaja. Secara purata EQXX menggunakan tenaga sekitar 8.3 kWh bagi setiap 100km dengan halaju purata sekitar 83km/jam

Mercedes bagaimanapun tidak mendedahkan berapa saiz bateri yang digunakan melainkan hanya memberikan maklumat am seperti saiz bateri kurang daripada 100kWh. Pek bateri ini menggunakan 50% ruang daripada model EQS dan juga 30% lebih ringan. EQXX hanya menggunakan satu motor elektrik berkuasa 241 kuasa kuda.
Bagi memaksimakan tenaga, EQXX juga dijana dengan panel solar di bahagian bumbung bagi menghasilkan tenaga untuk sistem penyaman udara dan juga sistem infohibur. Berat keseluruhan jentera ini ialah sekitar 1755kg sahaja.
Kecekapan jentera EQXX juga disumbangkan oleh sistem kawalan thermal yang kompak, lubang angin yang beroperasi secara automatik, injap cecair penyejuk dan juga pam haba bagi memastikan motor elektrik dan bateri beroperasi pada suhu yang optimum sahaja
Sistem ini juga merangkumi sistem kawalan aliran udara di bahagian bawah cesi dengan sirip penyejuk dipasang pada lantai jentera. Ia bertujuan untuk menyejukkan komponen trenkuasa dan menyumbangkan kepada 2% jarak perjalanan.