Hari ini ada banyak rancangan permotoran muncul di televisyen satu demi satu dengan konsep santai. Antara yang paling popular tentulah Top Gear dan Fifth Gear. Namun kebanyakannya adalah berkisarkan dua kereta dan bukannya khusus untuk motosikal. Susah jugak nak layan berita motosikal kecuali menerusi bacaan, internet dan Youtube.
Khas buat peminat motosikal, kini satu rancangan baru ala Top Gear bakal menemui anda dengan nama International Bike Torque Show. Ia sudah pun memulakan rakaman sejak awal tahun lalu dan dihoskan oleh juara MotoGP lima kali, Mick Doohan dan penunggang motosikal lasak popular, Charley Boorman. Ia akan menampilkan lokasi-lokasi antarbangsa selain rakaman studio di Australia.
BACA: VIDEO TOYOTA 86 DENGAN ENJIN FERRARI
Penggambaran untuk rancangan televisyen baharu ini mengambil masa empat minggu dan membawa dua lagenda dua motosikal itu berserta kru ke Jepun, AS, Sepanyol, Itali dan Queensland, Australia berhampiran rumah Mick sendiri.
Menurut penerbitnya, ramai peminat cukup gemar dengan konsep rancangan seperti ini kerana ia lebih santai berbanding rancangan secara formal ataupun rencana. Warga Eropah khususnya cukup teruja kerana mereka begitu meminati MotoGP seperti kita di Malaysia.
Bike Torque juga menarik minat penerbit eksekutif yang datang dari Los Angeles dan mempunyai hubungan yang rapat dengan rangkaian televisyen di Amerika Syarikat. Ini juga merupakan peluang untuk rancangan ini diperkenalkan ke pasaran Amerika Syarikat.
Sebahagian rancangan ini akan dirakamkan di Queensland Australia jadi mana-mana peminat yang ingin menjadi penonton di studio boleh mendapatkan maklumat tentang waktu rakaman dari lama Facebook Bike Torque.
Ia mempunyai pelbagai segmen sepertimana rancangan permotoran berkonsep santai yang lain dan segmen yang paling dijangka akan mendapat sambutan ialah Celebrity Challenge – Run the Gauntlet.
Rancangan ini akan menampilkan para selebriti popular menempuh cabaran sama ada dengan belajar menunggang motosikal ataupun mengharungi pelbagai cabaran disediakan menggunakan motosikal custom “Ra-Ra” yang dihasilkan khusus untuk rancangan ini oleh Rebel Alliance of London.
Penerbit rancangan ini merancang untuk menampilkan selebriti ternama seperti Tom Cruise, Eric Bana, Justin Timberlake, Angelina Jolie, Brad Pitt, Johnny Depp, George Clooney, Pink, David Beckham, Clint Eastwood, Ryan Gosling, Ewan McGregor, John Travolta, JasonStatham dan ramai lagi.
Artis Malaysia setakat ni belum tersenarai lagi tapi mana tahu satu hari nanti ada Nasir Bilal Khan ke ataupun paling tidak pun Ayahanda Rani Kulup.
Beberapa buah motosikal unik turut akan ditampilkan selain pelumba-pelumba lagenda seperti Valentino Rossi, Casey Stoner, Craig Lowndes, Wayne Gardner, Kevin Schwantz dan Sebastian Vettel.
Penerbit menyatakan halangan utama untuk menampilkan para selebriti ini ialah kos yang perlu dibayar tetapi beliau percaya ramai yang akan tertarik kerana mempunyai peluang untuk menunggang bersama dengan Mick Doohan. Ia memang satu strategi yang cukup bijak dari pihak penerbitan.
Selain daripada itu rancangan ini juga akan menampilkan ulasan model-model motosikal, klip video kelakar mengenai motosikal, kembara bermotosikal, ulasan MotoGP, aksi stunt, pertandingan ubahsuai motosikal, tips keselamatan dan penjagaan selain motosikal klasik. Malah banyak lagi segmen yang dirasakan cukup menarik buat penggemar-penggemar motosikal.
Buat masa ini anda boleh menonton trailer rancangan ini menerusi pautan Youtube di bawah.