Buletin

NISSAN PERKENAL X-TRAIL RUPA BAHARU DI FINAL UEFA – 3.7 JUTA UNIT TERJUAL SEJAK 2000

Di negara kita persaingan merebut pelanggan bukan sahaja terhad kepada segmen D, C dan B tetapi juga turut merebak ke dalam segmen SUV. Malah ia turut berlangsung di peringkat global. Jika ada yang membuat tinjauan ingin memiliki sebuah SUV kebiasaannya model yang disebut-sebut ialah Honda CR-V atau Nissan X-Trail.

Tetapi manakah pilihan yang lebih popular?

Jika diperhatikan dalam negara, Honda CR-V lebih popular dan ini boleh disaksikan melalui jumlah SUV tersebut di atas jalan raya. Namun menurut Nissan, X-Trail dan Rogue (Amerika Syarikat) adalah SUV paling popular di dunia pada 2016 dengan jualan sebanyak 766,000 unit di mana angka itu lebih tinggi berbanding SUV pesaing lain.

Lebih menarik, sejak generasi pertama dilancarkan pada tahun 2000, lebih dari 3.7 juta unit telah terjual di seluruh dan hampir setengah juta darinya di Eropah sahaja.

Nissan X-Trail sudah memasuki generasi ketiga dan sejak dilancarkan pada tahun 2014 di Eropah, dianggarkan 115,000 unit telah terjual dan satu lagi fakta menarik ialah jualan 2015 meningkat dua kali ganda berbanding 2014 dan selepas itu meningkat sebanyak 40 peratus pada 2016.

Susulan populariti X-Trail di Eropah tidak hairanlah Nissan memperkenalkan rupa baharu SUV itu di final Liga Juara-Juara UEFA yang begitu popular di sana dan dunia amnya.

Nissan X-Trail rupa baharu tampil kemas dan lebih penting ia perlu menyekat kemaraan Honda CR-V baharu yang kini nampak disenangi pasaran.

Kata Nissan, perubahan yang dilakukan adalah berdasarkan maklum balas dari pelanggan dan dibangunkan untuk mengukuhkan lagi posisinya sebagai kenderaan untuk adventur sekeluarga.

Berikut ialah ciri-ciri yang terdapat pada Nissan X-Trail rupa baharu.

Luaran

  • But boleh secara bebas tangan – Hanya perlu lalukan kaki di bawah bamper belakang
  • Gril V-motion yang lebih lebar
  • Kluster lampu utama baharu dengan lampu DRL boomerang terkini
  • Lampu utama dengan fungsi Adaptive Front Lighting System (AFS)
  • Lampu kabus berbentuk petak berbanding bulat sebelum ini
  • Bamper depan rekaan baharu
  • Bamper belakang dengan kemasan krom
  • Lampu belakang kini LED sepenuhnya
  • Roda 17 inci dan 18 inci baharu
  • Pelekap sisi pintu krom baharu
  • Empat warna baharu – Orange Pearl, Red Pearl, Blue Pearl Metallic dan Dark Brown Pearl

Dalaman

  • Stereng berbentuk D ala kereta lumba – Memudahkan proses keluar masuk untuk pemandu
  • Instrumen meter yang direka semula – Diubah supaya pemandu tidak terlalu lama tertumpu pada meter
  • Gred kemasan yang lebih tinggi – Corong udara kini dengan warna hitam kilat
  • Kerusi dengan fungsi pemanas bukan sahaja untuk pemandu tetapi juga untuk penumpang
  • Varian Tekna kini dengan lapan pembesar suara BOSE Premium – Ciri sistem audio paling lengkap pernah ditawarkan pada kenderaan Nissan di Eropah
  • Saiz ruang but kini lebih besar susulan rekaan semula pakejing dalaman
  • Luggage Board System – Ruang dan penghadang untuk simpanan barang

Sistem bantuan pemanduan – Bermula tahun 2018

  • ProPILOT – Sistem kawalan stereng, pecutan dan brek sewaktu kenderaan berada di lorong sendiri dalam keadaan trafik yang sibuk atau kelajuan tinggi di lebuh raya
  • IEB dengan Pedestrian Recognition dan Rear Cross Traffic Alert – Sistem akan memberi amaran jika terdapat kenderaan yang menghampiri semasa pemandu keluar dari parkir

Nadi kuasa (Enjin dan transmisi)

  • Diesel 1.6 – 130PS / 6MT 2WD / 6MT 4WD / CVT 2WD
  • Diesel 2.0 – 177PS / 6MT 4WD / CVT 4WD / CVT 2WD
  • Petrol 1.6 – 163 PS / 6MT 2WD

Sama seperti X-Trail pasaran tempatan, SUV di benua sana turut ditawarkan dalam dua jenis konfigurasi kerusi sama ada lima atau tujuh tempat duduk.

Nissan X-Trail rupa baharu akan mula dijual bermula Ogos depan dan dijangka memasuki pasaran Malaysia pada tahun depan.

Diharapkan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) selaku pengedar Nissan di Malaysia dapat menyemak semula spesifikasi dan tawaran X-Trail supaya lebih setara dengan pesaing lain kerana SUV ini sebenarnya alternatif yang baik kepada pelanggan.

Sama seperti yang telah terbukti di pasaran Eropah dan Amerika Syarikat.

BACA: NISSAN AD RESORT SI MANJA MERAH – DARI KERETA PASAR MALAM JADI WAGON YANG MEMUKAU

BACA: BENGKEL PENUH DENGAN NISSAN SKYLINE & GT-R HANGUS TERBAKAR

Google ads
Back to top button