
JUALAN PROTON KEMBALI PULIH PADA BULAN FEBRUARI. CATAT PENINGKATAN 107%
PROTON mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 107 peratus pada bulan Februari selepas terjejas teruk akibat banjir.
Syarikat berkenaan menjual sebanyak 9,225 unit (domestik + eksport) pada bulan lalu.
Ia sekali gus membolehkan PROTON melakar kedudukan kedua dalam pasaran dan meletakkannya kembali di landasan untuk memulihkan kehilangan jualan bulan Januari.
Pegangan pasaran domestik PROTON untuk bulan Februari dianggarkan pada 20.2% manakala untuk dua bulan pertama tahun ini, pegangan pasaran terkumpul dianggarkan pada 15.9%.

Bagi pasaran automotif secara amnya, Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi tahun ini dianggarkan meningkat sebanyak 11.4% berbanding dua bulan pertama 2021.
Dengan penyambungan pengeluaran secara sepenuhnya di Shah Alam dan Tanjung Malim, terdapat peningkatan ketara dalam jumlah jualan PROTON secara keseluruhan.
Bagaimanapun, model seperti Proton Saga hanya dapat menjalankan pengeluaran dan aktiviti jualan biasa selama setengah bulan dan merencatkan potensi sepenuhnya.

Model Saga pula, mencapai 2,951 unit pada bulan Februari, walaupun kurang daripada purata bulanan biasa, angka itu dijangka kembali ke tahap sebelumnya dalam beberapa bulan akan datang.
Model lain mencapai jualan lebih baik berbanding dengan sasaran jualan mereka.
Proton X50 dan Proton X70 menutup tirai bulan Februari dengan masing-masing mencatat jualan sebanyak 3,002 dan 1,119 unit.

Kedua-duanya, mengekalkan pegangan di tempat pertama dalam segmen masing-masing.
Proton X50 juga merupakan SUV paling laris dalam negara dan telah menarik lebih 100,000 unit tempahan dalam masa 16 bulan sahaja.
Proton Exora juga kembali ke tempat pertama dalam MPV segmen C manakala terdapat peningkatan yang besar untuk Proton Iriz dan Proton Persona dengan menduduki tangga keempat dan kedua dalam segmen masing-masing pada bulan Februari.
Walaupun jualan domestik masih menjejaki volum tahun lepas, jualan eksport semakin meningkat dan telah bertambah sebanyak 72.8% pada tahun 2022.

Bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 323 unit pelbagai kereta Proton telah dijual dalam pasaran eksport berbanding hanya 187 unit dijual pada tahun 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar. Roslan Abdullah berkata keupayaan syarikat mengeluarkan lebih banyak kenderaan merupakan punca utama bagi pemulihan jualan bulan Februari.
“Ia hanya dapat dicapai melalui usaha bersama yang cemerlang daripada vendor kami dan kakitangan PROTON, yang bekerja bertungkus lumus untuk mengembalikan kami ke landasan yang betul.

“Syukurlah, buku tempahan kami kekal sihat, dan kami yakin boleh mencapai sasaran kami untuk tahun ini.
“Bagi industri automotif Malaysia, dua bulan pertama tahun ini menyaksikan permintaan kukuh yang ditunjukkan oleh pertumbuhan dalam TIV berbanding tahun 2021.
“Ini adalah berita baik untuk kedua-dua syarikat kereta dan komuniti vendor dan juga bukti keberkesanan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.