MINI JOHN COOPER WORKS 1TO6 EDITION – HITAM ITU PREMIUM. BETULKAH?
Dalam dunia otomotif, kita semua pasti boleh bersetuju akan satu perkara. Model MINI Cooper ini semua orang kenal dan suka. Dari yang muda sehinggalah ke golongan veteran. Sebuah model yang asal kecil tapi kini sudah tidak lagi berapa nak kecil tetapi kini lebih kelihatan sporty.
Dan model yang telah ditingkat taraf seperti MINI John Cooper Works sememangnya dikenali sebagai model berprestasi tinggi dengan pemanduan ala go-kart yang cukup padu dan dikenali. Dan ini adalah MINI John Cooper Works 1T06 Edition.
Menurut Stefanie Wurst selaku Ketua MINI, sejarah model MINI John Cooper Works mempunyai susur galur yang utuh dalam dunia permotoran. Dan pengenalan model MINI John Cooper Works 1To6 Edition ini bagi meraikan lagenda permotoran MINI serta memaksimakan pengalaman pemanduan terhadap kereta ini.
Dari luar, MINI John Cooper Works 1to6 Edition ini menampilkan ciri individual dengan prestasi yang luar biasa. Layangan warna Midnight Black sudah pasti membuatkan penampilannya tampak sedikit garang dan liar. Bahagian hadapan menampilkan gril radiator yang lebih besar bagi memastikan lebih banyak udara sejuk disedut masuk bagi menyejukkan komponen di bahagian dalam ruangan enjin.
Rim bersaiz 18 inci Circuit Spoke dengan warna Jet Black memastikan model MINI John Cooper Works 1t06 Edition kekal kelihatan hitam dan premium di luarannya. Spoiler dan apron di belakang telah direka untuk memberikan kesan aerodinamik yang sepatutnya kepada model MINI ini.
Trenkuasa sedia ada pada model JCW sebelumnya yang bersesaran 2.0 liter turbo empat silinder masih lagi dikekalkan tetapi telah dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan, sesuai dengan namanya 1To6. Enjin ini berupaya memberikan kuasa sehingga 238 kuasa kuda dan 320 Nm. Kira kuasa tu memang ngamlah.
Dan sebagai sebuah model 1To6 Edition, ada beberapa logo / emblem tersebut telah disulam / ditempatkan seperti di stereng dan papan pemuka bagi mengingatkan pemiliknya bahawa model ini adalah sesuatu yang istimewa.
Oh ya, tempat duduk pun masih lagi dibalut kulit Nappa bagi menampilkan ciri eksklusif dan bergaya. Begitu juga dengan lampu ambien berwarna merah yang memberikan sedikit kontra terhadap kemasan berwarna hitam yang turut diaplikasikan di bahagian ruangan kabin.
Dan model istimewa ini akan dikeluarkan hanya 999 unit sahaja untuk pasaran secara global. Mungkin akan ada beberapa unit yang akan di bawa masuk ke negara kita tidak berapa lama lagi. Ianya bakal dipertontonkan kepada umum sewaktu Nürburgring 24 Hours dan dijangka dijual pada aras harga £39,600 (RM223,694).
BACA : JOHN COOPER WORKS AKAN JADI SUB JENAMA EV BERPRESTASI TINGGI UNTUK MINI
BACA : MINI JOHN COOPER WORKS GP 2020. TERHAD 10 UNIT, 306HP, RM377K JER