Buletin

MINI JOHN COOPER WORKS GP 2020. TERHAD 10 UNIT, 306HP, RM377K JER

MINI Malaysia membuat kejutan apabila melancarkan MINI John Cooper Works GP bersama MINI Electric semalam.

Menjadi model  MINI GP paling berkuasa tinggi pernah dikeluarkan, hanya ada 10 unit ditawarkan untuk peminatnya di Malaysia. Tampil dalam warna istimewa, jentera itu boleh anda miliki pada harga RM377,470 seunit.  

MINI John Cooper Works GP dijana oleh enjin paling berkuasa pernah dipasang pada MINI 3 Door.

Enjin empat silinder berkapasiti 2.0 liter dengan MINI TwinPower Turbo digandingkan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan. Ia mampu menjana kuasa 306hp dan tork 450 Nm.

Hasilnya, ia mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 5.2 saat dengan kelajuan maksimum 265 km/j.

Sepanjang sesi ujian intensif yang dijalankan di litar Nürburgring Nordschleife dan litar-litar lumba lain, MINI John Cooper Works GP ditala dengan terperinci mengikut output enjin yang besar.

Aspek pengendalian dipertingkat menerusi penggunaan suspensi single-joint sprint strut khas untuk roda hadaoan dan jenis multi-link di belakang. Selain trek tayar yang lebih lebar, jentera itu juga 10mm lebih rendah berbanding model  MINI John Cooper Works.

MINI John Cooper Works GP hadir dalam warna kelabu metalik (Racing Grey) bersama bumbung dan perumah cermin sisi berwarna perak. Gril radiator berbentuk heksagon, intake udara pada bahagian bawah dan spoiler belakang menerima kemasan warna merah berkilat.

Anda tidak akan tersalah dengan model lain kerana terdapat emblem GP pada bahagian hadapan, belakang dan enjinnya. Spoiler belakang juga menjelaskan bahawa ia bukanlah sebuah jentera sembarangan.

Ia dipasang dengan rim tempaan yang hanya seberat 9kg bersiz 18 inci. Berat kereta itu dikurangkan lagi menerusi penggunaan kombinasi material seperti CFRP dan termoplastik.

Di bahagian kabin, MINI John Cooper Works GP dilengkapi tempat duduk sports John Cooper Works yang dibalut kulit Dinamica bersama kemasan perak, jahitan benang merah dan sulaman logo GP, selain tali pinggang keledar berwarna merah.

MINI Visual Boost dengan skrin bersaiz 8.8 inci ditawarkan sebagai standard dengan Sistem Navigasi.  Ia boleh dikawal menerusi skrin sentuh, fungsi kawalan MINI atau arahan suara. Pengguna juga boleh mengecas telefon pintar mereka tanpa wayar.

Jika berminat, MINI John Cooper Works GP sudah boleh ditempah mulai sekarang. Bertindak segera jika tak mahu kecewa.

GALERI

Google ads
Back to top button