Buletin

MINI MALAYSIA LANCAR MINI ELECTRIC FIRST EDITION. TERHAD 15 UNIT, RM238K

MINI Malaysia baru-baru ini telah melancarkan model MINI Electric First Edition ke pasaran tempatan. Terhad kepada 15 unit sahaja, jentera itu ditawarkan pada harga RM238,380 seunit.

Bulan lalu, MINI Malaysia memperkenalkan MINI Electric sebagai inisiatif awal elektrifikasinya.

MINI Electric First Edition tampil lebih istimewa menerusi warna hitam baharu yang dikenali sebagai MINI Yours Enigmatic Black. Manakala perumah cermin sisi dan kemasan pada tengah gril dikontraskan dengan warna kuning terang.

Anda juga boleh memilih warna putih bersama kemasan kuning. Bumbung kaca panorama didatangkan dalam warna hitam yang elegan.

Jentera tiga pintu dilengkapi Lights Package yang merangkumi lampu hadapan Matrix LED dan lampu belakang LED dengan grafik Union Jack yang ikonik. Ia turut dilekat dengan lencana First Edition.

Gayaan model eksklusif itu diserlahkan lagi dengan roda MINI Electric Power Spoke dua tona bersaiz 17 inci yang dibalut oleh tayar jenis run flat. Tempat pengecas diletakkan di bahagian belakang bersama penutup lencana E.

MINI Electric First Edition dikuasakan oleh motor elektrik yang mampu menjana 135kW (184hp) dan tork 270Nm. Kereta itu boleh mencatat kelajuan tertinggi 150km/j dan jarak perjalanan sejauh 234km dengan sekali caj.

Kuasa tersebut disalurkan ke roda melalui transmisi 1-kelajuan bersama pacuan pedal tunggal. Ia membolehkan anda untuk memperlahankan kereta tanpa perlu menekan brek.

Pemandu boleh memilih daripada empat mode pemanduan iaitu Sport, Mid, Green dan Green+ mengikut kesesuaian.

Ruang kabin tampil mewah dengan kemasan kulit MINI Yours Walknappa. Tempat duduknya pula dibalut oleh kulit Cross berwarna hitam. Sistem Navigasi MINI 8.8 inci hadir dengan aplikasi MINI Connected.

Ia terdiri daripada ciri Teleservices, Remote Services, Intelligent Emergency Call, MINI Online dan Apple CarPlay. Jentera itu juga dipasang dengan sistem bunyi Harman Kardon bersama 12 unit pembesar suara dan fungsi pengecasan tanpa wayar.

MINI Electric First Edition boleh dicaj sehingga 80 peratus dalam masa hanya 36 minit jika menggunakan stesen pengecasan DC. Kalau guna, MINI Wallbox Plus masa yang diperlukan ada 2 ½ jam.

Di rumah, kereta elektrik itu memerlukan masa selama selama 12 untuk dicaj sehingga mencecah 80 peratus.

Tempahan MINI Electric First Edition sudah boleh dibuat di semua pengedar sah MINI di seluruh negara.

GALERI

Google ads
Back to top button