BuletinMotosikal

MISI BURU KEJUARAAN KEENAM, ZAQHWAN TERIMA KEPAKARAN SHOWA

Pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing mempunyai tugas getir dalam usaha untuk mempertahankan gelaran juara individu dan berpasukan buat tahun keenam berturut-turut kategori SuperSports 600cc menjelang pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) 2017 di Litar Johor, Pasir Gudang, Johor, bermula 31 Mac hingga 2 April ini.
Bagi meningkatkan kekuatan pasukan, Musashi Boon Siew Honda turut menjalin kerjasama bersama pengeluar sistem suspensi antarabangsa, Showa dimana kerjasama ini menyaksikan pelumba utama pasukan yang juga juara keseluruhan 2016, Mohd Zaqhwan Zaidi akan mendapat kepakaran dan talaan daripada jurutera Showa dalam usaha untuk meraih gelaran ketiga peribadi di pentas Asia.
Menurut pengurus pasukan, Zulhelmi Ahmad, “Data yang diperoleh sepanjang sesi ujian pra-musim menunjukkan keputusan positif. Kami melakukan persediaan lebih awal pada tahun ini berbanding musim-musim lepas. Kami berdepan tugas mencabar kerana bukan sahaja untuk membantu Zaqhwan memenangi gelaran ketiga, sebaliknya turut mempunyai misi untuk mempertahankan gelaran pasukan terbaik buat musim keenam berturut-turut,” jelas Zulhelmi.

Berbeza dengan beberapa musim lepas dimana pasukan Musashi Boon Siew Honda menampilkan dua pelumba berpengalaman, saingan musim 2017 menyaksikan mereka menyenaraikan dua pelumba muda iaitu Zaqhwan selaku pelumba utama dan digandingkan bersama pelumba rookie dari Jepun, Teppei Nagoe.

“Saingan baru bermula dan sukar untuk membuat sebarang jangkaan. Meskipun menggandingkan pelumba muda, kami optimis dengan kemampuan Zaqhwan sambil dibantu oleh Nagoe.”
Mengulas tentang pencabar utama musim 2017, Zulhelmi berkata, “Pasukan Yamaha Thailand Racing dan Manual Tech Kawasaki memiliki gandingan yang mantap berdasarkan keputusan sewaktu ujian pra-musim.
“Yamaha Thailand menyenaraikan dua pelumba cukup berpengalaman, Decha Kraisart dan Chalermpol Polamai manakala Manual Tech pada tahun ini menyenaraikan Azlan Shah Kamaruzaman dan Ahmad Yudhistira. Tiga daripada empat pelumba itu pernah memenangi gelaran ARRC. Pada masa sama, kami perlu memberi perhatian kepada pasukan-pasukan lain seperti pasukan Yamaha Racing dimana Yuki Ito yang dilihat lebih bersedia untuk menghadapi musim 2017.”
Google ads
Back to top button