Buletin

MISI TIDAK MUSTAHIL – FERRARI MENANG ANUGERAH TERTINGGI RED DOT 2017

Biasa dilaporkan pengeluar kereta massa memenangi anugerah rekabentuk. Jika diperhatikan, Kia paling kerap mendominasi berita-berita kemenangan ini. Namun bagaimana pula dengan pengeluar kereta eksotik seperti Ferrari, Lamborghini, Pagani atau Bugatti?

Hakikatnya, walaupun tidak dihebahkan kereta-kereta sebegini sudah pun memenangi hati peminat-peminat di seluruh dunia. Kemenangan di acara besar-besar pula hanya mengiktiraf apa yang telah digemari penggemar terbanyak.

Pada 5 Julai lepas dan untuk tahun ketiga, Ferrari telah memenangi anugerah Red Dot: Best of the Best untuk ekspresi kualiti rekabentuk maksimum serta rekabentuk luar biasa.

Model yang dipilih bagi anugerah itu ialah Ferrari J50 dan menariknya ia adalah model edisi khas untuk meraikan ulangtahun ke 50 Ferrari di Jepun.

J50 adalah kereta dua tempat duduk roadster dengan bentangan enjin MR yang diasaskan dari model 488 Spider. Ia tampil dengan rekabentuk futuristik dan turut dipuji oleh para juri Red Dot untuk inovasi yang dibawanya.

J50 direkabentuk oleh pasukan pereka Ferrari di bawah pengawasan Flavio Manzoni. Menyentuh tentang unit terhad, J50 hanya akan dibina sebanyak 10 unit sahaja berdasarkan tradisi fuori serie (binaan khas) Ferrari.

Beberapa model lain seperti GTC4Lusso, LaFerrari Aperta dan 458 MM Speciale pula diiktiraf untuk anugerah kecemerlangan Red Dot Ferrari. Ia adalah sebahagian daripada acara pengiktiran keseluruhan model Ferrari dalam tahun syarikat itu menyambut ulangtahun ke 70.

BACA: LAFERRARI APERTA “N.O.S” RM31 JUTA – SAYANGNYA BILA KERETA JADI BARANG DAGANGAN

Walaupun Ferrari dikenali sebagai pengeluar kereta eksotik namun barisan produknya dibahagikan kepada beberapa jenis segmen. Sebagai contoh, GTC4Lusso adalah model perdana Ferrai dalam kelas GT (gran turismo) dan ia hadir dengan empat tempat duduk.

LaFerrari Aperta pula ialah model edisi khas ‘open top’ yang diasaskan dari model LaFerrari yang menggabungkan konsep GT dan kejuruteraan Formula 1.

458 MM Speciale pula adalah program one-off dan tempahan khas khusus untuk pelanggan yang mahukan sebuah kereta yang dibina untuk mereka sahaja.

BACA: KERUSI PEJABAT FERRARI – BOLEH JADI LAJU BUAT KERJA KE MACAM MANA NI?

 

Google ads
Back to top button