Artikel Pilihan

MISTERI ENJIN DIESEL, TORK TINGGI TAPI KUASA KUDA RENDAH.

Kalau anda perhatikan kebanyakan kenderaan yang dipasang dengan enjin diesel atau turbo diesel, maka anda akan perasan bahawa tork yang dihasilkan oleh enjin ini sangat kuat. Bukan sahaja kuat tapi dihasilkan pada RPM yang sangat rendah, sedangkan enjin petrol dengan saiz yang sama berpeluh nak hasilkan separuh daripada nilai tersebut pada RPM yang tinggi

Sebagai contoh Toyota Fortuner dengan enjin 2700cc petrol dual-VVTi menghasilkan 164 kuasa kuda pada 5200 RPM dan 245Nm tork pada 4000 RPM. Tapi bagi varian 2400cc turbodiesel, enjin ini menghasilkan 148 kuasa kuda pada 3400 RPM tapi 400Nm tork pada 1600 RPM

Kalau kita tengok dari angka ini, enjin turbo diesel menghasilkan tork hampir 2 kali ganda pada RPM 2 kali lebih rendah berbanding dengan enjin petrol. Tapi dari segi angka kuasa kuda, enjin petrol menghasilkan lebih kuasa kuda pada RPM yang lebih tinggi

Trend ini juga boleh dilihat pada kenderaan keluaran syarikat lain di mana kita boleh lihat, walaupun enjin turbodiesel menghasilkan tork yang sangat besar pada RPM yang rendah, tapi ia tidak menghasilkan kuasa kuda yang tinggi. Mungkin kuasa kuda yang dihasilkan tinggi sedikit sahaja dari enjin petrol.

Seperti yang kami ulas sebelum ini, enjin turbodiesel menghasilkan tork yang lebih tinggi kerana enjin ini direka dengan nisbah mampatan yang lebih tinggi, dipasang dengan turbo dan menggunakan bahan api diesel yang memiliki ketumpatan tenaga yang lebih tinggi.

Tapi enjin turbodiesel tidak sesuai menghasilkan kuasa kuda yang tinggi pada RPM tinggi kerana:

1. Lebih berat dan lebih tumpat – Namun disebalik kekuatan dan kebaikan enjin turbodiesel, kelemahan enjin diesel ialah ia biasanya direka dengan menggunakan aloi besi yang lebih tumpat bagi memberikan kekuatan enjin yang kuat dan menyokong nisbah mampatan yang tinggi

Apabila nisbah mampatan tinggi, komponen lain perlu menggunakan aloi besi yang lebih tumpat termasuklah piston, rod penyambung, aci engkol dan aci sesondol. Apabila berat, maka susah untuk semua komponen ini bergerak dengan laju

2. Rekaan silinder – kalau anda perhatikan, kebanyakan enjin turbodiesel datang dengan rekaan lejang sentiasa lebih besar daripada saiz diameter silinder (rekaan undersquare). Enjin ini juga dipanggil sebagai enjin long stroke memberikan kelebihan dalam menghasilkan tork yang tinggi pada RPM rendah

Jika enjin ini dipaksa bekerja pada RPM yang tinggi, saiz injap yang terhad pada silinder akan mengurangkan isipadu udara yang masuk dan merendahkan nilai tork yang dihasilkan oleh enjin turbodiesel. Lejang yang panjang juga akan menyebabkan kuasa kuda akan berkurang disebabkan geseran antara piston dan silinder semakin bertambah besar pada RPM yang tinggi

Hasilnya enjin turbodiesel akan sukar menghasilkan kuasa kuda yang tinggi pada RPM yang tinggi

3. Nisbah mampatan – semakin tinggi nisbah mampatan enjin, semakin pendek masa untuk atom diesel terbakar atau self ignite dalam enjin. Kebanyakan enjin diesel memiliki nisbah mampatan yang tinggi (dalam julat 14-22) berbanding enjin petrol (10-14)

Proses pembakaran bahan api diesel yang berlaku dalam enjin diesel merupakan porses yang agak kompleks kerana ia bermula dengan proses atomization, vaporization, mixing, self ignition dan akhir sekali combustion. Pembakaran atau combustion yang berlaku dalam enjin diesel bermula pada beribu-ribu atom diesel dan udara secara serentak

Bagi enjin petrol, ia memulakan pembakaran pembakaran dengan proses pencucuhan dari palam pencucuh yang lebih pantas, dikawal dengan ECU dan mudah diramal. Apabila masa pembakaran menjadi semakin pendek pada RPM yang lebih laju, enjin diesel tidak dapat menghasilkan tork yang tinggi dan proses pembakaran tidak akan berlaku dengan sempurna

Ia menghasilkan lebih banyak asap dan jelaga daripada diesel yang tidak terbakar yang akhirnya mencemarkan alam. Cuba anda tengok trak pikap yang memcut dengan tiba-tiba, mesti berkepul-kepul asap hitam keluar dari ekzos

OK, biasanya kuasa kuda yag tinggi ini dihasilkan bagi membolehkan kenderaan mencapai halaju yang tinggi. Enjin petrol boleh menghasilkan kuasa kuda yang tinggi kerana ia boleh beroperasi pada RPM yang lebih tinggi. Dengan kelebihan tork yang tinggi pada RPM yang rendah, kebanyakan kenderaan diesel dipadankan dengan gear ratio yang lebih besar.

Gear ratio yang besar membolehkan kenderaan berkuasa diesel mencapai halaju tinggi tapi masih mengekalkan RPM yang rendah.

Google ads
Back to top button