
MITSUBISHI DEDAHKAN BINAAN SEMULA KERETA PERTAMA MEREKA – TAPI MACAM ADA TAK KENA JE
Seratus tahun dahulu, 1917, Mitsubishi telah memulakan usaha untuk menghasilkan kereta pertama mereka yang dinamakan Model A. Untuk meraikan kejayaan mereka 100 tahun dahulu Mitsubishi Motors America telah cuba untuk menghasilkannya kembali dan digelar Re-Model A. Tapi nampaknya ia agak kurang berjaya.
Menariknya Re-Model A ini telah dihasilkan oleh West Coast Customs. Biasa dengar? Tentulah kerana mereka mempunyai rancangan televisyen terkenal ‘Pimp My Ride’ yang bersiaran di MTV. Tapi kali ini lain pulak jadinya. Walaupun pihak Mitsubishi Motors America menjamin yang mereka berkebolehan untuk menghasilkan Model A tapi lain pulak jadinya.
Jika anda mempunyai mata setajam kami mesti anda akan perasan yang kereta yang dihasilkan ini langsung tidak menyerupai Model A asal. Kalau diletakkan gambar Re-Model A dan model A dan kami menyuruh anda mencari perbezaan rasanya lebih dari sepuluh perbezaan mampu dicari dalam masa seminit.
Mula-mula sekali untuk pengetahuan anda, Re-Model A dihasilkan menggunakan casis moden sama seperti Mitsubishi Outlander hibrid plug-in. Tentu sekali ia tidak akan sama dengan casis kereta vintage seperti Model A baik dari segi jarak tapak roda sekalipun.
Tengok pula bahagian fender hadapan. Kenapa ia bersegi? Sedangkan semua kereta vintage dihasilkan dengan menggunakan tukul besi oleh pekerja-pekerja yang cukup berpengalaman. Sudut-sudut tajam seperti itu biasanya tidak terdapat pada model-model lama seperti ini.
Bukan itu sahaja, bandingkan sahaja bahagian depan Model A asal dengan Re-Model A kita akan dapati yang ia cukup berbeza. Gril hadapan dan radiator Model A kelihatan lebih tegak dan ada kelas berbanding Re-Model A yang kelihatan seperti sebuah hot rod. Mana cukup dengan hanya memasang lampu bulat di hadapan (itupun ketinggiannya berbeza dari asal).
BACA: PERJALANAN HIDUP MITSUBISHI 100 TAHUN
Lebih menyedihkan lagi ialah sebenarnya Model A yang dijadikan perbandingan dalam gambar ini pun merupakan sebuah replika. Bagaimanapun ia membuktikan yang penghasilan semula boleh dilakukan jika kena caranya.
Tidak ada satupun Model A asal yang dikeluarkan sekitar tahun 1917 hingga 1921 masih wujud. Model replika inipun dihasilkan oleh Mitsubishi Motors Japan pada tahun 1972 menggunakan platform Mitsubishi Jeep. Penyelidikan sebelum menghasilkannya dihasilkan oleh seorang wartawan permotoran Eizo Ikeda dan seorang pakar sejarah automotif di Toyota Automotive Museum, Heitatsu Igarashi.
Sayangnya Re-Model A ini kelihatan seperti dihasilkan oleh amatur dengan menggunakan aplikasi telefon pintar. Rasanya model ini agak tidak sesuai untuk dipamerkan pada ulangtahun ke seratus sebuah syarikat permotoran tersohor di dunia. Malu Lancer Evo nak mengaku moyang kan?