Buletin

KIA HADIAHKAN STINGER KEPADA RAFAEL NADAL

Kia Motors baru-baru ini dilapor telah menghadiahkan sebuah Kia Stinger kepada pemain tenis terkenal dunia yang juga duta jenama global Kia, Rafael Nadal.

Stinger berwarna merah itu diserahkan oleh Presiden Kia Motors Iberia, Yangseop Gihl; Pengarah Urusan, Emilio Herrera serta Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Ricardo de Diego di kampung halaman Nadal di Manacor, Majorca Sepanyol.

“Rafa mewakili semangat konsistensi, kerja keras dan kesungguhan yang turut dikongsi oleh Kia. Kami berbesar hati untuk menyerahkan model paling mengujakan Kia kepada beliau,” kata Herrera.

Stinger akan mula dijual di pasaran Eropah pada suku keempat tahun ini. Menjadi jentera produksi Kia yang paling berprestasi, Stinger menyalurkam semangat gran turismo yang penuh kuasa, elegan dan bergaya.

Model coupe itu didatangkan dengan tiga pilihan enjin iaitu 2.0 liter turbo petrol, 3.3 liter twin-turbo dan 2.2 liter turbodiesel.

Kerjasama di antara Kia dengan Nadal sudah bermula sejak tahun 2004 lagi. Dua tahun kemudian, dia menjadi duta jenama di Sepanyol sebelum dilantik sebagai duta global Kia dua tahun selepasnya.

Nadal merupakan antara pemain yang paling banyak memenangi kejuaraan. Mula bermain tenis secara profesional pada usia 15 tahun, dia sudahpun berjaya memenangi sepuluh gelaran Association of Tennis Professionals (ATP) sebelum mencecah usia 20 tahun.

Kia Motors Iberia aktif berkolaborasi dengan Yayasan Rafa Nadal dalam pelbagai projek. Ia juga dilantik sebagai penyedia kenderaan rasmi buat Rafa Nadal Academy by Movistar.

Google ads
Back to top button