Buletin

MITSUBISHI BANGKIT! MAHU PERKENAL 11 MODEL DALAM MASA 3 TAHUN

Sejak kebelakangan ini Mitsubishi Motors seperti diresapi semangat luar biasa. Bermula dengan kemasukan dalam pakatan Renault-Nissan dan kemudian pelancaran MPV kompak Expander di Indonesia yang mendapat sambutan luar biasa.

Melangkah ke hadapan, Mitsubishi Motors pada 18 Oktober lalu melancarkan program Drive for Growth iaitu pelan strategik tiga tahun untuk pertumbuhan yang mampan dan menguntungkan.

Mitsubishi mensasarkan peningkatan 30 peratus jualan dan pendapatan iaitu 1.3 juta kenderaan dan 2.5 trilion yen.

Di bawah pelan sama juga, Mitsubishi mensasarkan untuk memperolehi margin keuntungan operasi sebanyak enam peratus atau lebih pada tahun fiskal 2019 berbanding 0.3 peratus pada tahun fiskal 2016.

Pelan itu merangkumi program pembaharuan produk dengan pengembangan di pasaran yang disasarkan dan pembaikan kecekapan operasi.

Menurut Ketua Eksekutif Mitsubishi, Osamu Masuko, perkara paling utama ialah untuk membina semula kepercayaan syarikat, melancarkan model-model baharu dan pemulihan kewangan.

Perkara tersebut akan menjadi asas kepada pengembangan masa depan yang mapan dan akan melibatkan pertambahan perbelanjaan modal dan juga pembangunan produk.

Berikut ialah perancangan Mitsubishi dalam program Drive for Growth:

Perancangan kewangan

  • Peningkatan 60% perbelanjaan modal tahunan kepada 137 bilion yen pada tahun fiskal 2019 – Meningkatkan perbelanjaan sehingga 5.5 peratus berbanding jualan tahunan 
  • Dalam tempoh sama juga, perbelanjaan pembangunan dan penyelidikan (R&D) akan meningkat sehingga 50 peratus kepada 133 bilion yen
  • Jumlah pelaburan dalam pelan ini akan melibatkan lebih dari 600 bilion yen 
  • Walaupun melibatkan pertambahan pelaburan, Mitsubishi akan mengekalkan disiplin kewangan dan menjana aliran tunai positif dalam tempoh pelan ini
  • Syarikat juga berhasrat untuk mewujudkan dasar dividen yang kompetitif setanding dengan pengeluar automotif Jepun yang lain

Mitsubishi Expander

Perancangan produk

  • Mitsubishi mahu mengukuhkan penawaran model SUV 4WD dan pikap
  • Melancarkan 11 model termasuk XPANDER dan Eclipse Cross
  • Program pembaharuan produk ini selari dengan pengembangan pasaran di ASEAN, Oceania, Amerika Syarikat, China dan Jepun
  • Mitsubishi mensasarkan sepuluh peratus penguasaan di ASEAN
  • Aktiviti jualan akan diperkukuhkan di AS. Di China, dua model baharu iaitu Outlander dan Eclipse Cross bakal diperkenalkan
  • Di Jepun pula, syarikat akan melabur dalam rangkaian jualan dan portfolio produk untuk kembali kepada keuntungan menjelang tamatnya pelan ini

Tiga perancangan strategik:

1. Pembaharuan produk – Mitsubishi akan melancarkan 11 model baharu di mana enam darinya adalah model baharu. Secara purata, dua model baharu akan dilancarkan setiap tahun.

Lagi lima model adalah kemaskini kepada produk sedia ada. Menjelang tamatnya pelan ini, Mitsubishi mensasarkan lima model global terlaris terdiri dari SUV, 4WD dan PHEV mendominasi 70 peratus jualan keseluruhan.

Mitsubishi juga mahu memperkenalkan teknologi elektrifikasi ke dalam model utamanya termasuk kereta kompak EV bermula tahun 2020

2. Fokus kepada pasaran teras untuk memacu pertumbuhan hasil – Pembukaan kilang pemasangan baru tahun ini di Indonesia, dan pelancaran kenderaan pelbagai guna XPANDER baru-baru ini akan memacu pertumbuhan perniagaan ASEAN yang merupakan operasi kumpulan Mitsubishi terbesar dan paling menguntungkan.

Jumlah dagangan ASEAN dijangka meningkat dari 206,000 unit setahun kepada 310,000 unit setahun pada 2019.

Mitsubishi Motors juga akan melancarkan model baharu untuk membantu pemulihan bisnes kereta kompaknya di Jepun. Di AS, syarikat akan meningkatkan rangkaian pengedaran, menyasarkan pertambaha unit jualan sebanyak 30% kepada 130,000 unit pada tahun fiskal 2019.

Di China, Mitsubishi Motors akan menggandakan bilangan pengedar dan meningkatkan jualan lebih dari dua kali ganda berbanding sekarang kepada 220,000 unit pada tahun fiskal 2019.

3. Mengoptimumkan kos – Mitsubishi Motors akan menguruskan kos pengeluaran dengan teliti dan mensasarkan untuk mengurangkan kos monozukuri (penghasilan produk) sebanyak 1.3% setahun walaupun mahu melabur besar dalam R&D.

Di samping pengurusan kos, syarikat akan mendapat manfaat daripada peningkatan sinergi susulan penyertaan gabungan Renault-Nissan-Mitsubishi.

Mitsubishi Motors berusaha untuk mendapatkan nilai sinergi berjumlah lebih daripada 100 bilion yen sepanjang tempoh pelan ini dengan sebahagian besar daripadanya datang dari kecekapan dalam perolehan dan kos yang dijimatkan dari R&D.

Akhir sekali, Mitsubishi Motors akan menyumbangkan kepakarannya dalam teknologi PHEV, keupayaannya dalam SUV dan pikap, dan kekuatan pasaran di rantau ASEAN bagi meluaskan lagi program sinergi Pakatan dengan tujuan untuk menggandakan sinergi tahunan kepada lebih dari 10 bilion euro menjelang akhir tahun pelan iaitu pada 2022.

Google ads
Back to top button