Modifikasi

MITSUBISHI LANCER GLS EVO

Kalau anda pengikut setia perkembangan kereta tempatan, anda mesti ingat pada zaman Proton Saga yang pertama dilancarkan pada tahun 1985, kereta buatan Mitsubishi secara rasminya tidak lagi dijual di Malaysia. Apa yang tinggal hanyalah lori dan kenderaan komersial mereka, kereta macam Lancer dan Galant sudah tidak dijual. 

SONY DSC

Ini kerana Proton Saga ialah klon kepada Mitsubishi Lancer Fiore. Kalau jual juga Fiore pada masa itu, besar kemungkinan ia tidak laku kerana harga mahal atau Saga yang tidak laku sebab orang Malaysia lebih suka kepada jenama import.

Penjualan kereta saloon Mitsubishi hanya bermula semula di Malaysia pada tahun 2000 apabila Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memperkenalkan semula model Lancer kepada rakyat Malaysia. Sejujurnya, jualan Lancer tidaklah begitu memberangsangkan. Mungkin sebab orang sudah lupa pada jenama ini. Bagi saya pula, reka bentuk model Lancer itu tak cantik langsung. Macam tak percaya Lancer itu sedara dengan Evo VII.

SONY DSC

Namun, nasib Mitsubishi di Malaysia berubah apabila model terbaharu Lancer dilancarkan pada tahun 2007. Model tersebut lebih besar dan paling penting, jauh lagi cantik berbanding Lancer sebelumnya.

Dilancarkan pada waktu yang hampir sama dengan Honda Civic siri FD dan Toyota Corolla Altis generasi kedua, Lancer itu akhirnya diterima dengan tangan terbuka oleh rakyat Malaysia yang mahukan sebuah kereta keluarga yang besar dan sporty.

SONY DSC

Dari segi spesifikasi, Lancer sememangnya dilengkapi pelbagai aksesori yang mantap. Misalnya paddle shifter, sistem auto cruise dan enjin MIVEC 4B11 generasi baru yang cukup berkuasa. Memandangkan model ini juga mempunyai versi Evo macam Lancer terdahulu, maka memang tak hairanlah kalau ada orang yang akan menyalin barang Evo kepada Lancer ini.

Contoh depan mata ialah Lancer ini. Modifikasi seperti ini adalah untuk orang yang mementingkan gaya daripada prestasi. Lancer berwarna maroon ini adalah versi GLS, iaitu versi bawah sikit daripada GT.

SONY DSC

Secara amnya, versi GLS sama sahaja dengan model GT. Tetapi kalau dari kilang, model ini tidak dipasang dengan ciri auto cruise, tempat duduk kulit dan rim standard 16 inci, berbanding 18 inci untuk model GT. Tapi tak kisahlah, janji enjin sama – 157hp.

Pemiliknya memang tak usik langsung enjin kereta, cuma sistem ekzos dipertingkatkan. Paip asal sudah diganti paip saluran berdiameter 2.3” yang baru dan diakhiri dengan peredam bunyi A’PEXi N1. Bunyi ekzos memang mengaum, tetapi yang kurang menarik sebab enjin kereta ini disambung dengan kotak gear jenis CVT.

SONY DSC

Lancer ini nampak lagi hensem apabila pemiliknya menggantikan rim asal dengan rim Volk Racing TE37SL berdiameter 18 inci dan offset 30. Rim berwarna tembaga itu dipadankan pula dengan tayar  Toyo Proxes bersaiz 245/35/18 berprofil rendah. Memang hensem macam Yusuf Haslam zaman muda. Di sebalik rim, set brek yang cukup menggigit iaitu set brek Brembo yang disalin daripada Evo X.

Untuk pengendalian, pemilik Lancer ini menggunakan set peyerap hentak boleh laras jenama GAB yang dilaras serendah mungkin. Sebuah strut bar daripada Ultra Racing digunakan untuk bahagian depan bagi memantapkan lagi pengendalian kereta.

SONY DSC

Sebenarnya, keistimewaan kereta ini terletak pada kosmetiknya. Inspirasi tentulah daripada Evo X dan bukannya Proton Inspira. Lips bampar hadapan, skirting sisi, spoiler belakang dan diffuser udara pada bumper belakang ialah bodykit asal yang digunakan oleh Evo X.

Sayangnya fender depan tidak diganti dengan fender Evo X. Kalau tak, memang dah jadi sebijik Evo X. Tambahan kepada aksesori Evo X ialah bonet depan gentian karbon penuh yang lengkap dengan liang udara. Di atas bumbung pula, dipasang sebuah vortex generator yang juga diperbuat daripada karbon.

SONY DSC

Bahagian dalaman Lancer ni boleh dikatakan hampir standard, kecuali pada bahagian tempat duduk depan yang diganti dengan tempat duduk bucket SSCUSS bersalut kulit. Sistem hiburan dalam kereta juga dinaik taraf dengan pemain DVD jenama Pioneer.

Saya tidak pasti bilakah model baru Lancer akan diperkenalkan oleh MMM,  memandangkan Civic sudah memperkenalkan model terbarunya. Tidak lama lagi Toyota pula perkenalkan model terbaru Corolla Altis.

Spesifikasi

Pembuat / Model: Mitsubishi Lancer GLS

Enjin: 4B11 MIVEC standard

Sistem ekzos: Custom 2.3”, peredam bunyi A’PEXi N1

Sistem gantungan: Penyerap hentak boleh laras GAB, strut bar depan Ultra Racing

Sistem brek: Brek Brembo lengkap Evo X

Rim / Tayar: Volk Racing TE37SL 18” / Toyo Proxes 245/35/18

Luaran: Bodykit Evo X, bonet depan gentian karbon, vortex generator karbon

Dalaman: Tempat duduk depan SSCUSS, pemain DVD Pioneer

[hr] Galeri

SONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSC
 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button