MITSUBISHI MOTORS BAKAL SERTAI PERIKATAN HONDA-NISSAN
Mitsubishi Motors Jepun bakal menyertai perikatan antara Honda Motor dan Nissan Motor, mewujudkan kerjasama di antara pembuat kenderaan dengan jualan gabungan lebih daripada 8 juta kenderaan.
Mitsubishi Motors, yang dimiliki sebanyak 34 peratus oleh Nissan, akan bekerjasama dengan Honda dan Nissan untuk memuktamadkan butiran kerjasama strategik mereka.
Menurut laporan Nikkei, tiga firma tersebut berhasrat untuk menyeragamkan perisian dalam kenderaan yang mengawal kereta.
Namun, Mitsubishi Motors enggan memberi komen mengenai laporan tersebut, manakala jurucakap Nissan hanya mengatakan bahawa laporan itu tidak berdasarkan sesuatu yang diumumkan oleh mana-mana syarikat tersebut.
Jurucakap Honda juga tidak memberi maklum balas terhadap permintaan untuk komen.
Langkah ini diambil ketika Nissan, pembuat kenderaan ketiga terbesar di Jepun, telah kehilangan bahagian pasaran di dua pasaran terbesarnya, iaitu Amerika Syarikat dan China.
Pada hari Khamis, syarikat itu mengurangkan unjuran tahunannya selepas potongan harga besar-besaran di Amerika Syarikat hampir memadamkan keuntungan suku pertamanya.
Pada bulan Mac, Nissan dan Honda menyatakan bahawa mereka sedang mempertimbangkan kerjasama strategik untuk menghasilkan komponen kenderaan elektrik serta kecerdasan buatan dalam platform perisian automotif.
Kerjasama berasingan antara Nissan, Honda dan Mitsubishi Motors ini boleh membantu pembuat kenderaan Jepun mengurangkan kos memperkukuhkan daya saing mereka dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) yang semakin mencabar, didominasi oleh syarikat seperti BYD dari China serta Tesla.
Di China, pasaran auto terbesar di dunia, jenama Jepun sebelum ini kuat tetapi kini berhadapan dengan pembuat kenderaan tempatan yang telah meningkatkan pengeluaran dengan pesat selain, memenangi hati pengguna dengan kenderaan harga rendah.
Dengan penyertaan Mitsubishi Motors dalam perikatan ini, dijangka akan ada peningkatan dalam inovasi dan kecekapan pengeluaran, membolehkan mereka untuk bersaing dengan lebih berkesan dalam pasaran global.
Perikatan ini juga berpotensi untuk membawa teknologi baharu yang lebih maju dan menjimatkan kos bagi pengguna, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan pembuat kenderaan Jepun di persada antarabangsa. – FMT
- BACA: PROTON LANCAR RANGKAIAN STAMPING BAHARU DI TANJONG MALIM, LABUR RM253 JUTA
- BACA: CHEVROLET CORVETTE ZR1 – 1064 KUASA KUDA & 1123NM. V8 PALING POWER DARI US.
- BACA: RASMI: ROYAL ENFIELD HIMALAYAN 450 LANCAR DI MALAYSIA – DARI RM31,100
- BACA: LIMA BUAH TOYOTA GR YARIS RALLY1 AKAN BERAKSI DI FINLAND DENGAN SAMI PAJARI AKAN MEMBUAT DEBUT