MITSUBISHI TRITON PHANTOM PLUS EDITION. TERHAD 1,000 UNIT, BERMULA RM139,700
Mitsubishi Motors Malaysia hari ini memperkenalkan varian edisi terhad trak pikap Triton yang digelar sebagai Phantom Plus Edition secara rasmi ke pasaran tempatan.
Terhad kepada hanya 1,000 unit dan hadir dalam satu warna sahaja iaitu hitam (Jet Black), Triton Phantom Plus Edition direka khas untuk pelanggan yang menjalani gaya hidup aktif.
Dari segi luaran, Triton Phantom Plus Edition hadir dengan kemasan bumbung, lampu LED, serta elemen merah pada bahagian bampar depan dan belakang.
Komponen tambahan turut dipasang pada pada bahagian pintu sisi, tailgate, spoiler belakang, bar sports dengan kemasan matte serta arca roda yang lebih ranggi untuk dipadankan dengan aloi bersaiz 18 inci berwarna hitam berkilat.
Rim berkenaan dibalut oleh tayar Yokohama Geolander all-terrain. Selain pelekat badan Phantom Plus bagi melengkapkan lagi penampilan Triton tersebut.
Ruang kabin Triton Phantom Plus Edition ini didatangkan dengan kerusi dibalut kulit leatherette yang sporty dan karpet dengan kemasan merah. Tidak ketinggalan skrin infohibur bersaiz sembilan inci bersama ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto sebagai ciri standard.
Triton Phantom Plus Edition masih lagi menggunakan enjin 2.4 liter diesel turbo MIVEC yang mampu menjana kuasa 181 PS dan tork 430Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan sistem Easy Select 4WD dengan mod off-road.
Ciri keselamatan yang ada termasuklah ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Aktif (ASC), Kawalan Cengkaman (TC), Peringatan Rehat, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Bantuan Menuruni Cerun (HDC), Bantuan Kestabilan Trailer (TSA), serta sistem rakaman video pemanduan (DVR).
Walaupun ia sebuah trak pikap, Triton mampu menawarkan jarak radius putaran stereng yang cukup bagus iaitu 5.9 meter. Ini bagi memudahkan pengendalian terutama di kawasan parkir atau kawasan yang sempit.
Jentera itu ditawarkan pada harga bermula dari RM139,700 (atas jalan tidak termasuk insurans). Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 200,000km (mana-mana tiba dahulu).
Bagi tahun kewangan 2021 (April 2021-Mac 2022), Mitsubishi Triton kekal sebagai trak pikap kegemaran di Malaysia dengan 9,420 unit telah terjual, naik 24 peratus berbanding tempoh yang sama tahun terdahulu.
Senarai harga bagi setiap varian Triton yang ditawarkan di Malaysia adalah seperti berikut:
- Triton Quest – RM81,390
- Triton MT – RM103,200
- Triton AT – RM107,990
- Triton MT Premium – RM 116,200
- Triton AT Premium – RM126,900
- Triton Athlete – RM146,600
- Triton Phantom Plus Edition – RM139,700
GALERI