
MITSUBISHI XFORCE HEV TIBA DI PASARAN THAILAND – HARGA BERMULA RM118K
Mitsubishi Motors bakal melancarkan Mitsubishi Xforce HEV untuk pasaran Thailand di Bangkok International Motor Show hujung bulan ini.
Dari sudut reka bentuk, tidak banyak perubahan ketara berbanding varian petrol tetapi hadir dengan beberapa pembaharuan seperti gril kini mendapat kemasan krom dengan jalur melintang, sementara lencana “Xforce” menghiasi bonet depan.
Kelengkapan lain termasuklah rim aloi 18-inci dua tona masih dikekalkan, tetapi kini dengan rekaan baharu.

Dari segi dimensi, ia mempunyai ukuran kekal sama iaitu 4,390mm panjang, 1,810mm lebar dan 1,660mm tinggi dengan jarak roda ditetapkan pada 2,650mm.
Namun, kelegaan tanahnya dikurangkan kepada 183mm berbanding 222mm pada varian petrol.
Menjengah dalam kabin, ia dilengkapi skrin infotainmen 12.3-inci dan paparan digital 8.0-inci untuk pemandu, sistem audio Dynamic Sound Yamaha Premium lapan pembesar suara dan menerima ketersambungan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar.

Beralih pada kuasa, Xforce HEV dikuasakan oleh motor elektrik yang menghasilkan 116PS dan 255Nm, digandingkan dengan bateri lithium-ion dan enjin 1.6L 4A92 MIVEC kitaran Atkinson yang menjana 95PS pada 5,100rpm dan 134Nm pada 4,500rpm.
Menurut Mitsubishi, sistem hibrid ini lebih canggih berbanding Xpander HEV, dengan kotak gear transaxle dua kelajuan baharu yang meningkatkan kecekapan penghantaran kuasa.
Tambahan lagi, ia turut mempunyai fungsi nyah sambungan motor untuk mengurangkan kehilangan tenaga ketika pemanduan berkelajuan tinggi. Hasilnya, SUV ini mencatat penggunaan bahan api sekitar 24.4 km/L.

Untuk Sistem Keselamatan, ia dilengkapi perincian seperti berikut:
- Enam beg udara
- Brek kecemasan autonomi (AEB)
- Kawalan kelajuan adaptif (ACC)
- Lampu tinggi automatik (AHB)
- Amaran titik buta dengan bantuan pertukaran lorong (BSW + LCA)
- Amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
Xforce HEV mempunyai tujuh mod pemanduan, berbanding hanya empat pada varian petrol (Normal, Wet, Gravel dan Mud).
Model hibrid ini menambah dua mod pemanduan EV (EV Priority dan Charge Mode) serta satu mod tambahan untuk pemanduan di jalan berturap.


Xforce HEV didatangkan dengan beberapa Pilihan Warna, termasuklah;
Dwi-Tona:
- White Diamond + bumbung hitam
- Energetic Yellow + bumbung hitam
- Red + bumbung hitam
- Graphite Gray Metallic + bumbung hitam
Monotona:
- White Diamond
- Graphite Gray Metallic
- Blade Silver Metallic
- Jet Black Mica

Untuk harga pula, tiga varian Xforce HEV ditawarkan dengan harga bermula dari 899,000 baht (RM118,400) untuk model asas Xforce HEV Ignite, 1.039 juta baht (RM136,800) untuk Xforce HEV Ultimate, dan 1.089 juta baht (RM143,500) bagi varian tertinggi, Xforce HEV Ultimate X.