Buletin

CHERY LANCAR TIGGO 8 PRO, TIGGO 7 PRO DI INDONESIA

Chery baru-baru ini telah melancarkan dua produk di bawah siri Tiggo Pro, iaitu Tiggo 8 Pro dan Tiggo 7 Pro, di Indonesia. Sekali gus menjadikannya sebagai negara ASEAN dengan pemanduan kanan pertama yang menerima model-model tersebut.

Tiggo 8 Pro merupakan SUV besar yang mensasarkan golongan usahawan dan profesional melalui gabungan teknologi pintar, ciri-ciri premium serta versatiliti tujuh tempat duduk.

Ciri-ciri utamanya termasuklah panel meter LCD 12.3 inci, skrin sentuh kawalan suhu lapan inci, Around View Monitor 360-darjah, arahan suara serta lebih 10 fungsi Advanced Driver Assistance System (ADAS) bagi meningkatkan keselamatan.

Enjin 2.0 TGDI Tiggo 8 Pro, pemegang anugerah 10 enjin terunggul China, menghasilkan 254PS dan tork 390Nm yang menawarkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat.

Pada ruang dalaman, terdapat tempat duduk kulit dengan fungsi memori, lapan pembesar suara Sony surround, pencahayaan ambien pelbagai warna serta bumbung panoramik yang luas.

Disasarkan kepada golongan elit di kawasan bandar, Tiggo 7 Pro yang lebih kompak tampil bergaya  menerusi lampu hadapan LED matriks pintar serta bumbung terapung.

Ruang kabin berteknologi tinggi dilengkapi panel meter LCD tujuh inci, skrin tengah 10.25 inci, skrin sentuh kawalan suhu lapan inci, kamera 360 darjah, pintu belakang elektrik, pengecasan peranti mudah alih tanpa wayar dan banyak lagi. Ciri ADAS turut tersedia yang merangkumi fungsi adaptive cruise control dan brek kecemasan.

Kini, sebanyak 22 cawangan jualan dan servis Chery dalam proses pembinaan di kawasan-kawasan utama seperti Jakarta, Jawa, Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi.

Pada tahun hadapan, Chery akan membina 70 cawangan jualan dan servis bagi meliputi sepenuhnya pasaran Indonesia, seterusnya dapat menyediakan lebih banyak kemudahan dan perkhidmatan kepada para pelanggan tempatan.

Chery juga telah membina gudang alat ganti seluas 4,000 meter persegi di kilang Cikarang untuk menyimpan komponen servis serta yang melibatkan sistem elektrik dan casis. Manakala pembinaan gudang alat ganti di pulau-pulau luar seperti Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi sedang dipercepatkan bagi memenuhi permintaan pengguna.

Sebagai ekonomi terbesar di ASEAN, Indonesia memainkan peranan strategik dalam rancangan globalisasi Chery. Pelancaran Tiggo 8 Pro dan Tiggo 7 Pro, model-model terlaris Chery di peringkat global, di Indonesia menandakan permulaan penting ke arah produk yang lebih maju dan pintar bagi rakyat Indonesia pada masa hadapan, termasuk kenderaan tenaga baharu.

Google ads
Back to top button