Buletin

PEMILIK TOYOTA PRIUS PALING SETIA DI AS – KAJIAN

Siapa sangka pemilik kenderaan Toyota Prius yang serba kekurangan merupakan pembeli kereta paling setia di Amerika Syarikat.

Menurut kajian iSeeCars, sebanyak 13.7 peratus pembeli Prius akan menggunakan kenderaan mereka sekurang-kurangnya selama 15 tahun.

Selain Prius, jenama Toyota Highlander dan Toyota Tocoma turut mencatatkan pemilik paling setia yang menyimpan kenderaan selama sekurang-kurangnya 15 tahun.

Masing-masing dengan 12.4 peratus dan 11.6 peratus.

Melalui kajian tersebut, kenderaan Toyota bukan sahaja menyapu bersih tangga teratas tetapi menduduki lima kedudukan teratas.

Pemilik Sienna pula akan menyimpan minivan mereka dengan peratusan 11.5 peratus manakala pembeli Tundra pula 11.3 peratus.

Melengkapkan senarai 10 teratas adalah Honda CR-V (10.7%), Honda Pilot (10.4%), Subaru Forester (9.8%), Toyota 4Runner (9.4%) dan Toyota Sequoia (9.1%).

Kalau diperhatikan, senarai tangga 10 teratas dihuni sepenuhnya kenderaan daripada pengeluar Jepun.

Penganalisis Eksekutif iSeeCars, Karl Brauer menjelaskan kenderaan Jepun terutama Toyota dan Honda terkenal dengan kebolehpercayaan dan ketahanannya sekali gus menarik pengguna praktikal yang ingin kenderaan memiliki jangka hayat lama.

“Pemandu lebih cenderung bertahan dengan kenderaan mereka kerana tidak memerlukan penyelenggaraan mahal,” katanya.

iSeeCars telah melaksanakan analisa terhadap 660,000 kenderaan dari model tahun 1981 hingga 2005 yang dijual pada tahun 2020. – carscoops

Google ads
Back to top button