Motosikal

MODENAS LANCAR ELEGAN 250 ABS. SPEEDOMETER DIGITAL, PORT USB, LAMPU LED, RM15,315 SAHAJA!

Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS) hari ini melancarkan skuter maxi, Modenas Elegan 250 versi ABS secara rasmi melalui laman Facebook.

Ditawarkan pada harga RM15,315 ia menjadi antara skuter paling berbaloi dimiliki dalam segmennya.

Walaupun reka bentuknya mungkin tidak banyak berbeza berbanding model terdahulu, namun jentera terbaharu itu tampil dengan beberapa ciri tambahan.

Teknologi baru

Modenas Elegan 250 versi ABS dilengkapi enjin pancitan bahan api 4 lejang silinder tunggal, SOHC 250cc. Enjin tersebut mampu menjana kuasa maksimum 16.5kW pada 7,000rpm dan tork 22.4Nm pada 6,500 rpm.

Sistem penyejukan cecair yang ada padanya berfungsi memberi perlindungan dan ketahanan pada enjin.

Modenas Elegan 250 ABS hadir dengan speedometer digital pelbagai fungsi. Ia  memaparkan maklumat-maklumat seperti meter perjalanan, jam digital, penunjuk voltan bateri dan peringatan penukaran minyak.

Satu lagi ciri yang sangat berguna ialah soket pengecas USB di dalam kotak simpan pada papan pemuka. Ciri itu membolehkan penunggang mengecas telefon pintar pada bila-bila masa.

Ciri keselamatan terbaik

Skuter maxi terbaharu Modenas ini mendapat sistem ABS dua saluran pada roda hadapan dan belakang. Sistem itu berfungsi mengelakkan roda daripada terkunci dan memberikan daya berhenti terbaik dalam semua keadaan cuaca.

Ia juga dilengkapi dengan lampu depan projektor yang lebih bergaya dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED.

Sementara lampu belakang berbentuk ‘X’ jenis LED memberikan penglihatan yang lebih terang dan mudah dilihat oleh pengguna jalanraya lain semasa menunggang di waktu malam.

Reka Bentuk Premium

Modenas Elegan 250 ABS direka untuk keselesaan dan praktikaliti. Skuter maxi ini menawarkan ruang simpanan bawah tempat duduk yang cukup besar.

Buktinya, ruang itu boleh memuatkan dua helmet, barangan membeli-belah atau apa sahaja yang mungkin ingin dibawa semasa percutian pendek anda.

Tempat duduknya memberikan keselesaan tambahan bagi penunggang dan pembonceng. Sementara tempat letak kaki direka secara dinamik untuk kedudukan kaki yang lebih fleksibel dan relaks.

Selain daripada peningkatan prestasi dan gaya, Modenas Elegan 250 ABS juga menawarkan perjalanan lebih selamat dan selesa dengan kerangka tinggi serta lengan ayun belakang yang memberi tunggangan stabil.

Modenas Elegan 250 ABS hadir dalam dua warna bergaya – Matte Satin Merah dan Matte Satin Hitam. Skuter ini boleh didapati di semua pengedar sah MODENAS bermula November 2020.

“Pelancaran Modenas Elegan 250 ABS ini telah memberikan lebih pilihan kepada pelanggan terutama untuk segmen skuter maxi.

“Dengan adanya sistem ABS yang merupakan salah satu ciri keselamatan penting pada sebuah motosikal dan ditambah dengan beberapa ciri dan warna baharu, saya yakin ia akan terbukti berjaya di pasaran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan.

GALERI

Google ads
Back to top button