Buletin

MOF & BANK CAPAI KATA SEPAKAT. TIADA CAJ TAMBAHAN UNTUK MORATORIUM PERJANJIAN SEWA BELI

Kementerian Kewangan sebentar tadi mengumumkan bahawa tiada caj akan dikenakan ke atas bayaran ansuran perjanjian sewa beli kenderaan sepanjang tempoh moratorium. 

Pengecualian itu merangkumi perjanjian sewa beli konvensional dan syariah. 

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi satu kenyataan media rasmi dan entri dan laman Facebook miliknya.   

“Merujuk kepada saranan Kerajaan kepada industri perbankan mengenai pelupusan caj tambahan ke atas ansuran bagi pinjaman sewa beli (konvensional dan Shariah), sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan telah mencapai kata sepakat dengan industri perbankan berhubung perkara ini.

Persetujuan dicapai untuk menetapkan bahawa jumlah ansuran bulanan pinjaman tidak akan berubah bagi peminjam sewa beli (konvensional dan Shariah) sepanjang tempoh pembiayaan tersebut. Ini juga bermakna tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan sewaktu tempoh moratorium (penangguhan).

Sehubungan itu, peminjam akan perlu menyambung pembayaran ansuran seperti biasa berdasarkan terma-terma perjanjian dengan bank masing-masing, termasuk tambahan 6 bulan bagi keseluruhan jadual pembiayaan jika memilih untuk memanfaatkan moratorium tersebut. 

Maklumat lanjut boleh didapati daripada bank masing-masing.

Kerajaan berharap keputusan ini akan dapat meringankan beban rakyat dalam tempoh yang mencabar ini.” 

Tags
Google ads
Back to top button