
KTM TECH3 CATAT KEMENANGAN PERTAMA SELEPAS 20 TAHUN DI KELAS PREMIER MOTOGP
Miguel Oliveira menghadiahkan kemenangan pertama kepada pasukan KTM Tech3 di litar Red Bull Ring di Austria, semalam.
Kejayaan itu lebih manis apabila dia berjaya memotong dua orang pelumba lain, Jack Miller (Pramac Ducati) dan Pol Espargaro daripada pasukan factory KTM pada selekoh terakhir.
Sudah berada dalam musim kedua MotoGP, pencapaian terbaiknya sebelum ini adalah di tempat keenam.
Oliveira dilihat meneruskan penguasaan KTM di litar Eropah selepas Brad Binder menjuarai saingan di Litar Brno tiga minggu lalu.
Selain Pol dan Oliveira, Binder turut membanggakan KTM apabila berjaya berada di kelompok 10 pelumba teratas. Oliveira juga menamatkan penantian pasukan KTM Tech3 selepas hampir 20 tahun bersaing dalam kelas premier berkenaan.
“Saya sangat gembira dan teruja. Menang di tempat kelahiran KTM membuatkannya lebih istimewa. Ini kemenangan pertama dan saya rasa bertuah kerana berpeluang menukar tayar hadapan yang membuatkan saya lebih kompetitif,” katanya.
Ketiadaan juara dunia, Marc Marquez yang mengalami kecederaan nyata memberi peluang kepada pelumba lain menunjukkan keupayaan masing-masing. Oliveira ialah pelumba keempat yang berlainan dalam lima perlumbaan bagi musim 2020 setakat ini.
Semalam merupakan kali kedua berurut-turut yang menyaksikan perlumbaan terpaksa dihentikan seketika selepas brek jentera Maverick Vinales meletup pada kelajuan 230km/j. Mujur tiada insiden buruk yang berlaku.