Motosikal

MOTOGP: YAMAHA PERTARUH EMPAT JENTERA YZR-M1 DI GRID BERMULA 2025

Selain perpindah pelumba, musim 2025 Kejuaraan Dunia MotoGP akan turut memperlihatkan perubahan besar melibatkan pasukan satelit apabila Pramac Racing disahkan akan menjadi pasukan satelit baharu Yamaha. 

Menurut pemilik pasukan Pramac Racing, Paolo Campinoti, pasukannya telah menandatangani kontrak tujuh tahun bersama Yamaha. 

“Pramac Racing teruja menyertai Yamaha sebagai pasukan kilang kedua bagi musim 2025. 

“Kerjasama dengan Yamaha membuka lembaran baharu buat Prima Pramac Racing. Sejarah perlumbaan yang terbukti di MotoGP menjadikan Yamaha berkongsi visi sama dengan Prima Pramac untuk masa depan.”

Pramac – yang ketika ini sedang mendahului kejuaraan dunia menerusi Jorge Martin – akan menamatkan kerjasama dengan Ducati pada penghujung musim ini. 

Masa depan Pramac bersama Ducati menjadi tanda tanya sebaik Martin mengutarakan niat untuk berhijrah sementara Marc Marquez pula menegaskan tidak berminat menyertai pasukan satelit.

Marquez kemudiannya membuat keputusan sertai pasukan kilang Ducati sementara Martin berpindah ke Aprilia selepas menyedari niatnya ke pasukan kilang Ducati tidak diendahkan. 

Spekulasi mengaitkan Pramac dan Yamaha terus bertiup kencang apabila Enea Bastianini dan Maverick Vinales membuat keputusan mengejut untuk menyertai Tech3 KTM sementara Marc Bezzecchi turut meninggalkan VR46-Ducati untuk sertai Martin di Aprilia. 

Difahamkan, walaupun jentera YZR-M1 gagal memenangi sebarang perlumbaan sejak pertengahan 2022 namun pelaburan besar dalam projek MotoGP untuk jangka masa panjang berjaya menarik minat Pramac. 

Dalam pada itu, Franco Morbidelli, yang sebelum ini meninggalkan pasukan kilang Yamaha bagi menyertai Pramac Racing dijangka akan turut meninggalkan pasukan itu bagi musim 2025.

Google ads
Back to top button