Buletin

MOTOSIKAL EV TAILG EBIXON BOLD DAN TAILG EBIXON TORQ RASMI DILANCARKAN. 200KM SEKALI CAJ, BERMULA RM9K

Ni Hsin EV Tech Sdn. Bhd. (NH EV TECH), anak syarikat milik penuh Ni Hsin Group Berhad hari ini melancarkan dua model motosikal EV TAILG EBIXON.

Dikenali sebagai TAILG EBIXON BOLD dan TAILG EBIXON TORQ, motosikal itu dipasang di kemudahan pembuatan syarikat di Seri Kembangan, Selangor.

“Selepas lebih dua tahun kerja keras, dari konseptualisasi, R&D, percubaan dan kesilapan,  serta kerjasama rapat dengan rakan kongsi Dongguan Tailing Motor Vehicle Co., Ltd, kami akhirnya mencapai kejayaan dengan pelancaran TAILG EBIXON EV,” kata Pengarah Urusan NH EV TECH, Khoo Chee Kong. 

TAILG EBIXON BOLD

TAILG EBIXON BOLD dilengkapi motor elektrik berkapasiti 1.5kW yang mampu menjana kuasa 2.01hp dan tork 35Nm. Ia menggunakan pek bateri lithium 22 AH x 2 yang boleh ditukar ganti dan memerlukan masa di antara 2 hingga 8 jam untuk dicaj. 

Motosikal itu boleh bergerak sejauh 120km/j dengan sekali caj dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 70km/j. Sistem suspensi terdiri daripada jenis teleskopik di dapan dan gegelung di belakang. 

Jentera berkenaan dipasang dengan sistem brek cakera depan dan belakang bersama rim bersaiz 13 inci (depan) dan 12 inci di belakang. Ia juga dipasang dengan paparan kluster digital, slot pengecasan USB dan sistem lampu LED. 

TAILG EBIXON TORQ

TAILG EBIXON TORQ pula menggunakan motor elektrik 5kW berkuasa 6.7hp dan tork 74 Nm. Pek bateri lithium 50 AH x 2 yang boleh ditukar ganti itu memerlukan tempoh 2-8 jam untuk dicaj sepenuhnya. 

Motosikal itu mampu menawarkan karak gerak sehingga 200km dengan sekali caj bersama kelajuan maksimum 90km/j

TAILG EBIXON TORQ dipasang dengan suspensi depan jenis teleskopik dan penyerap hentak gegelung di belakang. Rim pula bersaiz 12 inci di depan dan belakang. Aspek keselamatan ditingkatkan menerusi sistem brek cakera pada kedua-dua roda.

Ciri-ciri lain yang ditawarkan termasuklah paparan kluster digital, slot pengecasan USB, sistem  lampu LED dan fungsi gear undur.

TAILG EBIXON BOLD ditawarkan pada harga RM9,000 seunit, manakala TAILG EBIXON TORQ berharga RM14,888.

TAILG EBIXON BOLD

NH EV TECH menyedari bahawa terdapat pasaran untuk mesin yang dibina khas ini. Pandemik COVID-19 menyebabkan lonjakan dalam e-dagang dan oleh itu permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran. 

Motosikal adalah pilihan yang popular kerana masa penghantaran lebih cepat dan penyelenggaraan yang rendah. Memandangkan pemanasan global, motosikal EV masuk akal kerana ia cekap tenaga dan lebih murah untuk diselenggara.

Terdapat banyak peluang untuk penggunaan EV, dengan kerajaan menyediakan insentif dalam bentuk pelepasan cukai untuk pemasangan atau pembuatan EV, komponen, dan pembangunan ekosistem EV seperti kemudahan pengecasan. 

TAILG EBIXON TORQ

“Kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga dijangka menerima penggunaan EV. Selain itu, pasaran skuter elektrik dan motosikal global dianggarkan berkembang pada CAGR 10.2% kepada AS$93.9 bilion menjelang 2031 daripada US$35.3 bilion pada 2021.”

“Kami mensasarkan untuk menjual 15,000 unit motosikal EV Tailg EBIXON setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang meliputi rantau Asia Pasifik. 

“Kami sedang berunding dengan beberapa organisasi, GLC, agensi kerajaan dan peniaga untuk mempromosi, memasar serta mengedar motosikal EV kami di rantau ini. Model perniagaan kami merangkumi modul jualan langsung dan sewa milik kepada perniagaan serta pengguna,” kata Khoo. 

Sempena pelancaran dua model Motosikal EV TAILG EBIXON itu, Ni Hsin turut menandatangani Memorandum Perjanjian (MoU) dengan beberapa organisasi seperti MIMOS Berhad, PROLINTAS,  HAI-O dan PT Winn Pratama Indonesia bagi membantu aspek pemasaran, promosi dan pengedaran motosikal EV tersebut. 

Google ads
Back to top button