Motosikal

ENJIN BARU MEMANG POSITIF TAPI BELUM MENCUKUPI – ROSSI

Valentino Rossi menyifatkan hari pertama ujian pramusim 2019 sebagai cukup positif tetapi merasakan yang enjin baru Yamaha masih memberikan tekanan yang kuat kepada tayar belakang. Beliau juga menyarankan Yamaha supaya meneruskan usaha menambah baik jentera M1 2019 selepas sesi ujian di Valencia yang menyaksikan beliau mencatat masa ketiga terpantas.

Kedua pelumba Yamaha Movistar Rossi dan Vinales menghabiskan sehari suntuk melakukan sesi ujian dan membandingkan enjin baru dengan enjin 2018 mereka. Rossi juga mendedahkan yang Yamaha masih mempunyai enjin lain untuk diuji sebagai salah satu usaha untuk merampas takhta MotoGP sekali lagi. Sesuatu yang masih gagal diraih sejak 2016 lagi.

Enjin baru itu disifatkan Rossi sebagai lebih lembut dan lebih lancar yang sekaligus menukar sifat jentera M1 sewaktu mengambil selekoh. Dengan kata lain ia lebih mudah dikawal dan lebih stabil tapi banyak lagi yang perlu ditambah baik.

Pelumba berusia 39 tahun tersebut bagaimanapun enggan memuji berlebihan dan menyatakan yang ia masih belum mencukupi kerana enjin tersebut masih memberikan tekanan lebih kepada tayar selepas 5 pusingan. Nampaknya tugas Yamaha masih belum habis.

Namun begitu Rossi meyifatkan ujian tersebut sebagai positif kerana berjaya menghabiskan 40 pusingan dan melakukan perbandingan antara enjin. Dibandingkan dengan enjin standard, ia memang memberi kurang tekanan kepada tayar belakang tetapi ia masih belum mencukupi. Yamaha sentiasa menghadapi masalah dengan tayar belakang mereka dan berharap untuk mengurangkan kehausan tayar dengan cepat.

Dari sudut lain pula Rossi menyatakan yang enjin baru ini menjadikan motosikal lebih senang dikawal tetapi pecutan masih sama seperti enjin sebelumnya. Walaupun bukan berpuas hati seratus peratus banyak lagi ujian perlu dilakukan dalam masa yang agak singkat sebelum musim 2019 bermula.

BACA: KEMALANGAN DI VALENCIA ADALAH TERUK DAN MEMALUKAN – ROSSI

Selepas beberapa pusingan Rossi mendakwa tayar belakang jentera beliau mula menggelongsor dan mereka harus mencari penyelesaian. Dua enjin telah diuji dan walaupun keduanya seakan-akan sama ianya tetap mempunyai perbezaan.

Beberapa siri ujian lagi perlu dilakukan sebelum enjin baru dipilih menjelang Februari tahun hadapan. Casis juga akan dinaik taraf tapi enjin merupakan faktor dan isu yang paling penting bagi jentera M1 Yamaha ini, kata Rossi.

Google ads
Back to top button