Buletin

MPV TIGA BARIS TEMPAT DUDUK HYUNDAI STARGAZER 2022 RASMI DI INDONESIA, DARI RM71K

Segmen LMPV tiga baris tempat duduk di Indonesia kini dimeriahkan dengan kehadiran pendatang baharu, Hyundai Stargazer.

Hyundai Stargazer 2022 membawakan pendekatan rekaan Sleek One Box dan One Curve Design yang memberikan ilusi ruang dalaman yang lebih lapang dan luas, serta lebih selesa.

Dimensi panjang Stargazer adalah sekitar 4,460 mm, lebar 1,780 mm, tinggi 1,695 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,780 mm.

Sebagai perbandingan, Mitsubishi Xpander mempunyai ukuran panjang 4,595 mm, lebar 1,780 mm, tinggi 1,700 mm dengan jarak antara roda pula 2,775 mm.

Bahagian luaran Stargazer dihiasi dengan lampu nyalaan siang LED melintang, diikuti lampu utama yang mengapit rekaan gril, dan lampu belakang LED berbentuk huruf H yang agak besar di bahagian tersebut.

Rekaan H itu juga dikatakan melambangkan keseimbangan dan keharmonian yang menghubungkan Indonesia dari timur ke barat.

Salah satu ciri menarik yang ada pada Hyundai Stargazer adalah kehadiran tempat duduk kapten baris kedua yang dilengkapi dengan tempat perehat tangan menjadikan penawaran Stargazer yang lebih premium.

Antara ciri lain termasuklah slot pengecasan peranti pintar nirwayar, skrin Display Audio bersaiz lapan inci dengan sambungan kepada peranti pintar, ruang meletakkan barangan serbaguna yang tersembunyi, ruang meletakkan cawan, tray kecil, poket tambahan di bahagian panel pintu dan meja piknik.

Ciri keselamatan yang didatangkan pada Hyundai Stargazer termasuklah Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA), Bantuan Pengekalan Lorong (LKA), Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta (BCA) serta Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Dari segi kuasa, Hyundai Stargazer didatangkan dengan enjin empat silinder sebaris 1,497 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 115 PS @ 6,300 rpm dan daya kilas 144 Nm @ 4,500 rpm, dipadankan dengan pilihan transmisi manual atau IVT.

Terdapat sehingga enam varian yang ditawarkan di pasaran Indonesia, dengan harga jualan bermula dari IDR 243,300,000 (RM71,900) untuk versi asas dengan trasmisi manual hingga IDR 307,100,000 (RM90,754) untuk versi Prime.

Google ads
Back to top button