Buletin

HONDA ZR-V MENDARAT DI JEPUN, SUV GUNA ASAS CIVIC

Umum mengetahui Honda HR-V kini terdiri daripada dua model yang berbeza, satu daripadanya merupakan model global yang menggunakan asas daripada Honda Fit/Jazz, dan sebuah lagi merupakan model SUV yang menggunakan asas daripada Honda Civic yang muncul kali pertama di Amerika Syarikat beberapa minggu yang lalu.

Honda HR-V spesifikasi Amerika Syarikat itu kini lebih dikenali sebagai Honda ZR-V di pasaran jepun dengan membawakan sedikit perubahan pada bahagian kosmetik, seperti kemasan bampar depan, rekaan gril menegak menggantikan kemasan sarang lebah, serta cladding arka roda yang mengikut warna badan.

Kemasan ruang kabin adalah menyamai apa yang ditawarkan pada model HR-V spesifikasi US, dengan rupa paras yang minimalis, skrin infotainmen terapung serta skrin kluster instrumen di sebalik stereng.

Namun spesifik untuk pasaran Jepun adalah penggunaan suis gear automatik menggantikan tombol gear fizikal, serta upholsteri yang lebih premium.

Honda ZR-V 2022 boleh dipadankan dengan trenkuasa hibrid e:HEV AWD yang menggandingkan enjin 2.0 liter, transmisi e-CVT dan dua motor elektrik, atau pilihan enjin 1.5 liter turbo dengan transmisi CVT.

Menurut laman web Honda Jepun, tempahan untuk model ZR-V akan dibuka pada bulan September ini.

Google ads
Back to top button