Buletin

MUSTANG SHELBY GT500KR BERKUASA 900 HP – RAJA JALANAN?

Ford Mustang Shelby GT500 mungkin sudah cukup berkuasa bagi golongan yang bersyukur, namun tetap wujud dalam dunia ini golongan yang gilakan kuasa (kuda).

Disebabkan itu, Shelby American baru-baru ini mengumumkan kemunculan pakej naiktaraf untuk jentera tersebut, dinamakan sebagai Mustang Shelby GT500KR.

Pakej GT500KR ini merangkumi modifikasi terhadap enjin 5.2 liter V8, di mana ia kini menerima sistem supercharger Whipple bersesaran 3.8 liter, badan pendikit yang lebih besar, sistem kemasukan udara sejuk, intercooler baharu, serta sistem ekzos yang dinaiktaraf.

Hasilnya?

GT500KR kini merupakan ‘King of The Road’ dengan angka output 900 kuasa kuda!

Tidak cukup dengan itu, GT500KR turut mendapat spring boleh laras ketinggian depan dan belakang, sway bar, suspensi MagneRide yang telah dikalibrasi semula dan rim Shelby bersaiz 20 inci.

Dari segi kosmetik, Shelby menawarkan komponen yang diperbuat daripada bahan ringan gentian karbon seperti hud enjin, splitter depan, diffuser belakang, dan juga flap Gurney.

Ruang kabin Mustang Shelby GT500KR ini mendapat kemasan tempat duduk balutan kulit, alas lantai bersulam, serta lencana Shelby ulang tahun ke-60.

Berita kurang baiknya, dengan harga bermula dari $127,895 (RM537,990) hanya 225 unit Mustang Shelby GT500 sahaja yang bakal mendapat naiktaraf ini, di mana 180 daripadanya dikhususkan untuk pasaran Amerika Syarikat.

Pemilik GT500 sedia ada juga boleh mendapatkan pakej yang disebutkan itu tadi dengan harga bermula dari $54,995 (RM231,336).

Google ads
Back to top button