
MAZDA MX-5 2022 KINI DENGAN CIRI KINEMATIC POSTURE CONTROL (KPC). BUKAN KFC.
Di Jepun, Mazda secara rasmi melancarkan kemaskini terhadap model roadster MX-5 untuk tahun 2022.
Jika dilihat dari segi luaran, tidak banyak perubahan yang boleh diperhatikan. Namun jika anda menyangka ia langsung tiada perubahan, anda silap.
Ini kerana disebalik rupanya yang masih sama itu, Mazda telah membawakan ciri baharu yang dinamakan sebagai Kinematic Posture Control pada sistem suspensi.

KPC dikatakan mampu mencipta satu daya anti-lift pada bahagian dalam roda ketika sedang meratah selekoh berkelajuan tinggi bertujuan untuk mengurangkan kesan olengan badan, dan menjadikan ia lebih melekat dengan jalan.
Malah, ciri baharu ini sangat pintar sehinggakan mampu mengesan kondisi membelok dalam masa nyata berdasarkan perbezaan kelajuan antara roda belakang kiri dan kanan. Kesannya, ia mampu menghasilkan pemanduan yang lebih natural, dan lebih stabil berbanding model terdahulu.
Untuk pasaran Jepun, MX-5 2022 boleh didapati dalam versi Terracotta Selection untuk model RF, serta penambahan warna baharu Platinum Quartz Metallic.