Buletin

NAZA EASTERN SAH BAWA MASUK VARIAN PREMIUM JIMNY PADA OGOS. SUDAH TERIMA HAMPIR 20 TEMPAHAN

NAZA Automotive Group bakal membawa masuk model ikonik Suzuki, Suzuki Jimny ke pasaran Malaysia pada Ogos ini. Ia merupakan model kedua selepas pelancaran Suzuki Swift Sport bulan lalu.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan yang memberitahu model Jimny yang akan dibawa masuk nanti ialah varian paling premium.

“Seperti kita tahu, Jimny ialah jenama ikonik dunia, malah kami sudah menerima hampir 20 tempahan daripada pelanggan yang berminat untuk mendapatkan model ini. Sedangkan kami belum mengumumkan apa-apa lagi berita mengenainya.

“Kami tidak menolak bayaran tempahan daripada pelanggan, walaupun belum mempunyai kata putus mengenai bilakah model ini akan dibawa masuk pada peringkat awalnya. Tetapi kini saya boleh katakan benar, Jimny akan dibawa masuk ke sini secara diimport sepenuhnya (CBU) dari kilang di Jepun.

“Malah, nisbah tempahan yang kami terima di antara Jimny dan Swift Sport ialah 3:1, menunjukkan model ini menjadi pilihan ramai pelanggan di sini,” katanya pada temu bual bersama BH dan New Straits Times, baru-baru ini.

Bulan lalu, NAZA Automotive menerusi Naza Eastern Motors mengumumkan pelantikannya sebagai pengedar dan penyedia perkhidmatan selepas jualan Suzuki. Ia turut mengumumkan pembukaan pusat pameran, perkhidmatan dan alat ganti (3S) Suzuki yang pertama berkeluasan 3,000 kaki persegi di Naza Automall, Petaling Jaya.

Syarikat itu kemudian melancarkan model pertama Suzuki untuk pasaran tempatan iaitu Suzuki Swift Sport pada 10 April lalu.

Ditanya mengapa Naza memilih untuk membawa masuk model Swift Sport yang harganya agak tinggi untuk pasaran massa tempatan, Nik Hamdam berkata keputusan itu dibuat selepas melakukan kajian agak lama bersama Suzuki mengenai pasaran Malaysia.

“Secara asasnya, jika anda lihat pada Swift Sport, ia adalah dalam segmen kompak hot hatch yang boleh dikatakan tiada pesaing di Malaysia. Sebelum ini, terdapat model seperti Peugeot 208 GTi, Volkswagen Scirocco, Renault Clio Sport, namun kini semua sudah tiada di Malaysia.

“Jadi, kami melihat terdapat ruang kosong dalam segmen ini yang masih tidak terisi. Selain itu, jika ada model paling hampir dengan Swift Sport ialah Mini Cooper, namun harganya sekali ganda. Maka, kami merasakan ini waktu sesuai untuk membawa masuk model ini ke dalam segmen yang dilihat sudah dilupakan di Malaysia,” katanya.

Ditanya sama ada Naza akan membawa masuk model Suzuki Swift daripada varian biasa, Nik Hamdam mengakui ia termasuk dalam perancangan dan menyasarkan untuk melakukannya tahun depan.

“Kami bercadang mengimportnya dari Thailand kerana kilang Suzuki di sana ada mengeluarkan model Swift versi standard yang khusus untuk pasaran massa. Perkara ini sedang dikaji dan dibincangkan dengan Suzuki untuk direalisasikani,” katanya.

Nik Hamdam juga menyatakan bahawa syarikat merancang untuk menambah lebih banyak rangkaian pengedaran Suzuki di beberapa bandar utama seperti Johor Bahru, Kuantan, Pulau Pinang dan Melaka. Di samping menambah satu atau dua lagi cawangan pengedar di Lembah Klang.

“Ini bagi membolehkan lebih ramai pelanggan berpeluang uji pandu dan servis kereta Suzuki. Rancangan pengembangan rangkaian pengedar ini akan dibuat pada suku ketiga atau keempat tahun ini,” katanya. – Berita Harian 

Google ads
Back to top button