Buletin

SUZUKI SWIFT SPORT 2021 MENDARAT DI MALAYSIA. ENJIN TURBO BOOSTERJET 140HP, PLATFORM HEARTEC, RM139,900

Pemegang kenderaan jenama Suzuki yang terkini di Malaysia, Naza Eastern rasmi melancarkan model pertamanya, Suzuki Swift Sport ke pasaran tempatan.

Hadir dalam satu varian sahaja, jentera itu menjadi petanda Suzuki sudah kembali ke Malaysia. Seperti yang kita sedia maklum, Suzuki keluar daripada pasaran ini pasa tahun 2016 selepas proses rasionalisasi dengan Proton dan DRB-Hicom.

Suzuki Swift Sport generasi keempat ini mula dilancarkan pasaran global tahun 2017. Ia merupakan versi prestasi tinggi berbanding Swift standard yang menjadi model penting dan identiti buat Suzuki.

Jentera itu dikuasakan oleh enjin turbo Boosterjet empat silinder bersesaran 1.4 liter. Mampu menjana sehingga 140hp dan tork 230Nm (naik 70Nm berbanding model lama), kuasa itu disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam kelajuan.

Gabungan itu membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa lapan saat dengan kelajuan maksimum mencecah 205km/j.  

Hatchback segmen B tersebut dibina di atas platform baharu Suzuki HEARTEC yang menjanjikan kualiti pengandalian mantap. Lebih menarik lagi, ia hanya seberat 970kg sahaja.

Dari segi penampilan, Suzuki Swift Sport menerima gril baharu honeycomb berwarna hitam. Ia kemudian diapit oleh sepasang lampu projektor LED . Di belakang pula tampil ringkas dengan kombinasi lampu LED dan sepasang ekzos berkembar.

Gayaan sporty diteruskan ke ruang kabin dengan jahitan benang merah pada stereng, tempat duduk dan perumah tuil gear. Warna merah turut digunakan pada papan pemuka, panel pintu dan latar panel meter rpm.

Konsol tengah pula dihuni oleh skrin paparan berwarna bersaiz 7 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay. Pemandu juga pasti berpuas hati dengan tempat duduk semi-bucket, stereng dan pedal yang sporty.

Menyentuh tentang aspek keselamatan pula, Suzuki Swift Sport dilengkapi beg udara, brek ABS dengan Emergency Brake Assist (EBA), EBD, Electronic Stability Control (ESC), Hill Hold Assist (HLA), pelumpuh enjin dan banyak lagi.

Berminat? Suzuki Swift Sport boleh anda miliki pada harga RM139,900 seunit bersama jaminan selama tiga tahun. Model yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini didatangkan dalam empat warna menarik iaitu kuning, putih, biru dan merah.

Google ads
Back to top button