Buletin

HONDA MALAYSIA SASAR JUAL 3,000 UNIT CITY BAHARU SEBULAN

Honda Malaysia Sdn. Bhd. menyasarkan jualan 3,000 unit sebulan bagi model sedan terbaharu, City generasi ke-5.

Ketua Pegawai Operasi Serantau (Asia & Oceania), Honda Motor Co. Ltd. merangkap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Honda Motor Co Ltd, Masayuki Igarashi, berkata visi 2030 kumpulan adalah untuk merintis kemajuan mobiliti dan membolehkan semua orang di seluruh dunia menambah baik kualiti kehidupan seharian.

“Justeru, kami memperkenalkan Honda e:TECHNOLOGY bagi mencapai visi 2030. Malaysia adalah pasaran yang penting di rantau ini.

“Sejak lima tahun lalu, hampir 40 peratus model hibrid yang dijual di rantau Asia dan Oceania adalah dari Malaysia.

“Bagi menawarkan produk elektrifikasi termaju, kami berbesar hati untuk memperkenalkan buat pertama kalinya di rantau Asia dan Ocenia, e:HEV, iaitu sistem hibrid dua motor dijana oleh ‘Multi-Mode Drive’ pintar (i-MMD) yang sangat cekap.

“Saya percaya bahawa City RS e:HEV serba baharu akan terus mengujakan pasaran Malaysia dan membawa keseronokan kepada setiap pelanggan dengan teknologi termaju dan ciri-ciri yang mendahului kelasnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, City mempunyai sejarah yang panjang di Malaysia.

“Kami memperkenalkan City Generasi kedua dan ketiga pada 2002 serta 2008 di mana kedua-duanya mendapat sambutan baik di pasaran.

“Populariti City diteruskan oleh City Generasi keempat yang dilancarkan pada 2014 apabila model ini membuktikan kejayaannya dan diminati ramai dengan ciri-ciri yang mendahului kelasnya. Ia menjadi model paling laris bagi Honda Malaysia dan menerajui segmen B selama lima tahun berturut-turut dengan jualan lebih 209,000 unit,” katanya.

Beliau berkata, selepas mengecapi kejayaan selama hampir 20 tahun, City serba baharu generasi kelima dipercayai akan menjadi pencetus perubahan yang yang melangkaui segmennya dengan teknologi termaju dan prestasi yang tiada tandingan.

“Sebelum kemunculan rasmi yang pertama di dunia, kami telah membuka tempahan dan melancarkan siri jelajah City serba baharu ke seluruh negara.

“Sehingga ke hari ini, saya dengan berbesar hati ingin mengumumkan bahawa kami telah menerima sebanyak 5,000 unit tempahan. Kami sangat terharu dengan sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Google ads
Back to top button