Buletin

HONDA CITY GENERASI KE-5 MENDARAT DI MALAYSIA. EMPAT VARIAN, HARGA BERMULA RM74,191.27

Honda Malaysia melancarkan model City serba baharu generasi ke-5 di pasaran negara hari ini.

Model terbaharu ini ditawarkan dalam empat varian malah didatangkan dengan pakej lengkap dan menarik melangkaui segmen B.

Lebih membanggakan, Malaysia turut menjadi negara pertama di dunia melancarkan varian RS e:HEV yang ditunggu-tunggu peminat jenama dari Jepun ini.

Model City terbaharu ditawarkan pada harga seperti berikut :-

VarianHarga Selepas Pengecualian Cukai Jualan (RM)²Harga Tanpa Pengecualian Cukai Jualan (RM)²*
V86,561.4589,800.00
E81,664.8284,800.00
S74,191.2776,800.00

Bagi varian RS e:HEV pula ia hanya akan tersedia pada Januari 2021 dan harganya akan diumumkan kelak.

City baharu didatangkan lima warna menarik iaitu Merah Mutiara (Passion Red Pearl), Hitam Mutiara (Crystal Black Pearl), Kelabu (Modern Steel Metallic), Perak (Lunar Silver Metallic) dan warna baharu, Putih Mutiara (Platinum White Pearl).

Menampilkan rekaan lebih padu dan bergaya, City terbaharu generasi ke-5 memiliki ukuran 111 mm lebih panjang, 54 mm lebih lebar dan 10mm lebih rendah berbanding model generasi ke-4.

Varian RS e:HEV dilengkapi gril hadapan baharu berwarna hitam berkilat, lip hadapan baharu dengan corak karbon.

Di bahagian belakang pula, ia hadir dengan bampar belakang baharu bersama peresap udara sekali gus menyerlahkan lagi sisi sporty.

Selain itu, RS e:HEV didatangkan spoiler belakang baharu dan perumah cermin sisi berwarna hitam memperlihatkan dua tona warna di bahagian badan jentera ini.

Varian V dan RS e:HEV City menawarkan lampu utama LED baharu dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED  dan lampu belakang LED baharu.

Kedua-dua varian itu juga menggunakan rim aloi bersaiz 16 inci yang melengkapkan lagi penampilan bergaya sedan tersebut.

Bahagian dalaman menekankan tekstur berkualiti tinggi dan teknologi terkini bagi memastikan keselesaan pemandu serta penumpang.

Ruang kaki penumpang belakang telah dipanjangkan malah corong pendingin hawa belakang hadir sebagai ciri standard pada semua varian bagi memastikan keselesaan penumpang.

Varian RS e:HEV dilengkapi paparan kluster meter interaktif 7 inci, pad pedal lebih sporty, tempat duduk dibaluti fabrik Ultrasuede dengan jahitan kemas benang berwarna merah pada bahagian dalaman.

Bagi varian E, V dan RS e:HEV, ia dilengkapi paparan audio berukuran 8 inci yang boleh dipadankan Apple CarPlay dan Android Auto.

Buat pertama kali dalam barisan model Honda Malaysia, varian RS e:HEV akan dijana oleh rangkaian kuasa intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD).

Ia sekali gus memberi pecutan lebih berkuasa dan lancar setara dengan tork enjin Aspirasi Natural segmen D.

Rangkaian kuasa i-MMD dan sistem Intelligent Power Unit (IPU) boleh bertukar antara tiga mod pemanduan iaitu PacuanEV, Pacuan Hibrid dan Pacuan Enjin.

RS e:HEV juga didatangkan dengan ciri Pedal Pilihan Nyah Pecutan (Deceleration Selector Paddles) yang membolehkan pemandu menggunakan pedal untuk janaan semula kuasa dan memperlahankan kenderaan tanpa perlu menekan pedal brek.

Dalam pada itu, varian S, E dan V mendapat khidmat enjin 1.5L DOHC i-VTEC baharu.

Menjadi enjin paling baru dalam segmennya, ia menjanjikan keseimbangan yang ideal di antara prestasi pemanduan dan penjimatan bahan api.

Dipadankan dengan transmisi Continuous Variable Transmission (CVT), enjin ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 121PS, paling tinggi dalam kelasnya dan tork maksimum145 Nm.

City baharu ini turut menampilkan pelbagai ciri pertama dalam kelasnya menerusi ciri-ciri yang biasanya terdapat pada kenderaan segmen C, D dan SUV.

Antaranya termasuk Honda LaneWatch, brek parkir elektrik dan penghidup enjin kawalan jauh.

 

Dari segi keselamatan, ia menawarkan ciri-ciri standard seperti bantuan kestabilan kenderaan, sistem brek anti-kunci, agihan brek elektronik, bantuan brek, amaran berhenti kecemasan, bantuan mula mendaki, ISOFIX di tempat duduk belakang dan amaran tali pinggang keledar belakang baharu.

Untuk meningkatkan pakej City RS e:HEV, ia bakal hadir dengan ciri keselamatan termaju paling lengkap dalam segmen B iaitu Honda SENSING.

Senarai sistem bantuan keselamatan pemandu dalam Honda SENSING adalah seperti berikut:

  1. Kawalan Pemanduan Adaptif (Adaptive Cruise Control)
  2. Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (Collision Mitigation Braking System)
  3. Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (Forward Collision Warning)
  4. Sistem Bantuan Kekal Lorong (Lane Keep Assist System)
  5. Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan (Road Departure Mitigation)
  6. Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Warning)
  7. Lampu Tinggi Auto (Auto High Beam)

Untuk maklumat lanjut atau pandu uji City terbaharu ini, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana 101 pengedar sah Honda di seluruh negara, hubungi talian Tol Percuma Honda di 1-800-88-2020 atau melayari laman web www.honda.com.my.

GALERI:

Google ads
Back to top button