Buletin

NIO ES8 SUV ELEKTRIK

Dunia EV sejak akhir-akhir ini semakin meriah dengan pelbagai model baharu yang menjengah pasaran. Dan kali ini, NIO telah berjaya mengambil hati para bakal pembeli yang gemarkan rupa bentuk sebuah SUV dengan gaya yang urban tapi dalam yang masa masih ingin mengekalkan hijau bumi Tuhan. NIO ES8 adalah SUV elektrik yang boleh di bawa pulang ke kampung halaman tanpa perlu berkompromi membawa beg plastik untuk mengisi pakaian.

BACA : SUPERCAR ELEKTRIK NIO EP9 – JENTERA EV TERPANTAS DI DUNIA

BACA : CONIC 7 MPV KONSEP ELEKTRIK MEWAH

Oh ya sebelum terlupa, NIO sebelum ini juga turut memperkenalkan model supercar mereka, EP9. Malah NIO juga merupakan pemilik bagi pasukan NextEV NIO Formula E Team. Kiranya bab elektrik ini memang NIO ini cukup handal.

Sebagai sebuah SUV elektrik, paras rupa yang futuristik adalah merupakan perkara wajib ada. Untuk menjadikannya futuristik, lampu utama haruslah kelihatan tirus dan bersaiz bola pingpong tapi mempunyai kecerahan seumpama lampu limpah stadium.

NIO ES8 ini sebenarnya merupakan SUV yang bersaiz penuh. Panjangnya melebihi 5 meter, manakala lebarnya hampir 2 meter maka tidak hairannya ianya mampu memuatkan 7 orang penumpang dengan konfigurasi 2+3+2. Cukup selesa untuk pulang ke kampung halaman di Nanjing sewaktu menyambut Tahun Baru Cina nanti.

Ruang dalamnya juga turut menampilkan ciri yang agak futuristik, kelaziman sebuah EV. Paparan meter digital berserta sistem infotainment skrin sesentuh menegak menyerlahkan lagi ruang dalaman ES8 ini.

NIO ES8 yang dijangka berada di pasaran China bermula 2018 ini dilengkapi dengan dua motor elektrik di bahagian hadapan dan belakang bagi membolehkan ianya berfungsi sebagai pacuan empat roda. Bagi membolehkan pemandu tidak perlu membawa powerbank 500000mah untuk mengecas, bateri 192 Ah/67 kWh yang dibekalkan kepada NIO ES8 ini mampu bergerak sejauh 500km.

Tapi tiga hari dua malam baru sampai kalau pandu dari KL hingga ke Johor Bahru sebab untuk mencapai ke jarak itu, ES ini harus dipandu dengan kelajuan 60km/j sahaja. Mengesot pun lagi laju Brader Karrager fikir. Tapi dengan kelajuan biasa-biasa, ianya mampu mencapai jarak sekitar 355km. Masih memadai.

Untuk mengecas penuh, lapan jam adalah masa yang diperlukan. Tipikal sebuah EV. Mungkin dah boleh mula meniaga powerbank pula lepas ini kan. Jadinya, apakah kita semua sudah bersedia untuk beralih arah kepada EV ini? Alangkan Evo pun dah bersedia untuk menukar kepada e-Evo. Kan?

Google ads
Back to top button