Artikel Pilihan

NISBAH KUASA ENJIN KEPADA BERAT KERETA. KAMI KIRA NISBAH 8 KERETA POPULAR

Antara kriteria utama kita memilih sesuatu kereta ialah, lagi tinggi kuasa kuda yang dihasilkan adalah lebih bagus. Itu adalah kriteria normal yang dicari oleh seorang peminat kereta. Tapi pada masa yang sama, kita lupa mengambil kira satu lagi faktor utama yang menentukan prestasi sebenar kereta di atas jalan iaitu berat kereta sendiri. Secara teori, kita mahukan sebuah kereta dengan kuasa enjin yang tinggi, tapi ringan macam Kancil

Apabila dia kuantiti ini dikira, kita akan mendapat power to weight ratio atau nisbah kuasa enjin kepada berat kereta. Nilai yang semakin tinggi secara teori akan memberikan prestasi pemanduan yang lebih baik dari segi pecutan dan juga kelajuan. Teori dia macam ini, dari Hukum Newton Kedua

F=ma, di mana F ialah kuasa enjin, m ialah berat dan a adalah pecutan. Jadi untuk mendapat pecutan yang baik, berat kereta mestilah berada dalam kuantiti yang paling minima. Tapi mesti ada orang cakap, untuk menentukan pecutan, nilai tork adalah paling penting kan.

Ok kita tengok rumus kuasa kuda sekejap,

Kuasa Kuda = (nilai tork x RPM ketika enjin operasi)/5252. Nilai tork dan RPM ini biasa kita boleh dapat dari graf RPM vs kuasa kuda dan tork. Tapi ini tork yang dihasilkan oleh enjin. Untuk mengira pecutan, nilai tork ini perlu melalui transmisi, nisbah gear dan sampai ke tayar. Bila dikira balik, dengan faktor nisbah gear, dan tayar ia sebenarnya mewakili pengiraan kuasa kuda.

Ok, kita senaraikan beberapa kereta popular di Malaysia, untuk kita nilai nisbah kuasa kepada berat. Untuk memudahkan pembacaan, nisbah ini kami kira dalam tan atau 1000kg bagi menjadikannya lebih realistik.

1. Myvi 1.5 – kami mengambil varian 1.5H berbanding AV yang lebih berat. Berat varian ini ialah 1010kg dengan 102 kuasa kuda. Ini menjadikan ratio kuasa enjin kepada berat ialah 100 kuasa kuda per tan (1000kg). Jika dibandingkan dengan Iriz yang datang dengan enjin 1.6, ratio Iriz ialah 91.21 kuasa kuda per tan. Tapi disebabkan Iriz datang dengan transmisi CVT, Iriz ada kelebihan ketika lajak.

2. Honda Civic 1.5TC -varian ini datang dengan enjin L15B turbo yang menghasilkan 171 kuasa kuda dengan berat 1316kg sahaja menjadikan nisbahnya ialah 129.9 kuasa kuda per tan. Manakala pesaingnya Altis pula ialah 100 kuasa kuda per tan.

3. Perodua Bezza – sebagai pencabar baru segmen A, Bezza 1.3 datang dengan 94 kuasa kuda dengan cesi seberat 930kg sahaja. Ini menjadikan nisbahnya ialah 101 kuasa kuda per tan, tinggi sediki berbanding dengan Myvi 1.5. Saga pula walaupun datang dengan 94 kuasa kuda, namun ia lebih berat pada 1075kg menjadikan nisbahnya 87.44 kuasa kuda per tan

4. Perodua Aruz – seperti yang anda jangka dan kompen, berat Aruz 1.5 AV ialah 1310kg dan enjin 1.5 pula hanya menghasilkan 101 kuasa kuda sahaja. Disebabkan berat yang tinggi, nisbahnya ialah 77.3 kuasa kuda per tan. Kalau anda perasan, RPM Aruz agak tinggi walaupun dipandu pada 110km/j disebabkan gear ratio ditala dengan agresif untuk menutup kelemahan ini. Tapi kalau anda guna gear 2, pecutan yang dibuat direka untuk memecut dan memotong kereta lain dengan pantas.

4. Proton X70 – jika anda tak perasan, berat X70 ialah 1635kg dan kuasa enjin hanyalah 181 kuasa kuda sahaja. Ini menyebabkan nisbahnya ialah 110 kuasa kuda per tan manakala X50 yang datang dengan enjin 1.5TD pula memiliki nisbah 111 kuasa kuda per tan.

5. Honda City – model terbaru datang dengan enjin DOHC yang menghasilkan 119 kuasa kuda menjadikan nisbahnya ialah 105 kuasa kuda per tan. Tapi jika dibandingkan dengan Jazz yang datang dengan enjin SOHC, Jazz memiliki nisbah 110 kuasa kuda per tan disebabkan Jazz jauh lebih ringan.

6. GR Supra – datang dengan enjin bersaiz 3000cc yang menghasilkan 335 kuasa kuda dan berat 1570kg, nisbah Supra ialah 213 kuasa kuda per tan. Dengan agihan berat 50:50 di depan dan belakang, memang syok pandu Supra ini. Adik Supra iaitu GR Yaris pula memiliki nisbah 200 kuasa kuda per tan

7. Volvo S60 – datang dengan teknologi hibrid mampu menghamburkan 407 kuasa kuda namun kelemahan sistem hibrid ini ialah beratnya iaitu 2041kg. Jadi nisbah S60 ialah 199 kuasa kuda per tan, lebih baik berbanding dengan Hyundai i-30N pada 187 kuasa kuda per tan.

8. Lotus Evora – sebenarnya Lotus sudah lama menyedari kelebihan cesi ringan ini. Jadi tak hairan kalau anda lihat semua kereta Lotus walaupun dipasang dengan enjin tapi cesi dia kecil dan ringan. Sebagai contoh Lotus Evora dengan berat 1395kg dan 400 kuasa kuda, ia menghasilkan 286 kuasa kuda per tan.

Google ads
Back to top button