Buletin

APPLE BAKAL LABUR RM14.6 BILION KE DALAM KIA UNTUK HASILKAN KERETA ELEKTRIK

Saham Kia Motors melonjak ke tahap paling tinggi sejak tahun 1998 semalam pada harga 97,700 won Korea (RM355.45) sesaham selepas timbul laporan bahawa Apple telah mencapai persetujuan untuk membina kereta elektrik dengannya.

Pelaburan yang dikatakan berjumlah AS$3.6 bilion (RM14.6 bilion) itu akan menyaksikan Kia membina kereta jenama Apple di kilangnya di Georgia, AS. Perjanjian dijadual ditandatangani pada 17 Februari depan dengan kereta pertama dijangka dikeluarkan pada tahun 2024.

Mereka mensasarkan untuk membina sekitar 100,000 unit kenderaan dalam tempoh setahun.

Laporan yang mula disiarkan oleh DongA.com bagaimanapun tidak menyebut mana-mana sumber. Manakala Apple dan Kia enggan memberi sebarang komen.  

Hyundai sebelum ini mengakui ada berbincang dengan Apple untuk menghasilkan EV. Kenyataan itu sekali gus menafikan bahawa Apple akan bekerjasama dengan pengeluar kenderaan lain.

Apple yang memang terkenal dengan sikap gemar berahsia tentang rancangan masa depan mereka sudah merancang untuk menghasilkan kereta sejak tahun 2014 lagi. Project Titan menjadi bukti kesungguhan tersebut.

Kerjasama dengan Hyundai atau Kia memberikan Apple kepakaran serta keupayaan pengilangan yang diperlukannya.

Hyundai yang fokus kepada EV baru-baru ini membangunkan platform E-GMP baharu. Ia dilihat sebagai platform terbaik untuk EV pertama Apple. Hyundai mendakwa platform EV itu mampu menawarkan jarak sehingga 500km dan boleh dicaj ke tahap 80 peratus dalam masa cuma 18 minit.

Platform E-GMP dilapor akan digunakan untuk model IONIQ 5 dan Kia EV.

Google ads
Back to top button