Buletin

HONDA AMAZE MASUK SUNGAI. PERCAYA SANGAT GOOGLE MAPS

Tidak dapat dinafikan aplikasi Google Maps banyak membantu memudahkan pengguna jalan raya terutama apabila kurang mahir tentang laluan destinasi baharu.

Bagaimanapun, kita tidak sepatutnya meletakkan 100 peratus kepercayaan kepada aplikasi berkenaan kerana ia mungkin membawa ke jalan pintas yang tidak diketahui hujung pangkalnya.

Perkara tersebut berlaku kepada pemilik Honda Amaze apabila kenderaan dinaiki hilang arah hingga terjunam ke dalam sungai di Andra Pradesh, India.

Menurut laporan Gaadiwadi, mangsa, Shivaram Balajepalli memasukkan destinasi ke dalam sistem aplikasi dan mengikut arahan yang diberikan kepadanya.

Bagaimanapun, ketika memandu, aplikasi telah mengubah kepada laluan alternatif sehingga kereta dipandu terjunam masuk ke dalam sungai.

Lelaki berkenaan bernasib baik kerana berjaya menyelamatkan diri manakala kereta terbabit terpaksa ditarik keluar dengan menggunakan sebuah trak.

Kereta itu masih dapat beroperasi dengan baik apabila dibawa keluar sungai itu tetapi malang bagi lelaki tersebut apabila lampu enjin pada papan pemuka mula berkelip-kelip ketika dalam perjalanan ke pusat servis.

Pusat servis memaklumkan insurans tidak melindungi kerosakan disebabkan banjir. – agensi.

Google ads
Back to top button