
NISSAN ALMERA TURBO – SELAMBA CATAT PENGGUNAAN BAHAN API TERBAIK 28.61KM/L
Hujung minggu lalu, saya sempat menyertai acara Nissan Lightfoot Quest 2024 yang dianjurkan oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM). Ini merupakan pertandingan untuk mencari siapakah pemandu yang boleh mencatat penjimatan bahan api yang terbaik.
Selepas sekian lama tidak dianjurkan, acara seperti ini memang tidak akan saya lepaskan kerana ia cukup mengimbau kenangan.
Untuk makluman, sebelum ini banyak sekali pengeluar kenderaan mengadakan acara fuel challenge untuk membuktikan penjimatan kenderaan masing-masing. Ditambah pula hadiah yang ditawarkan biasanya agak lumayan.

Perjalanan Nissan Lightfoot Quest 2024 melibatkan 30 buah Nissan Almera Turbo yang terdiri daripada 9 kereta untuk media manakala bakinya ialah pemilik sedan berkenaan. Kami memulakan perjalanan dari Nissan Petaling Jaya menuju ke stesen minyak BHPetrol di Bandar Seri Botani, Ipoh yang jaraknya sekitar 195 kilometer.
Berbekalkan peta daripada aplikasi WAZE, semua peserta perlu tiba ke lokasi dalam tempoh 2 jam 45 minit. Sebelum bergerak, semua tangki Almera Turbo diisi penuh dan penutupnya ditampal pelekat supaya peserta tidak boleh mengisi minyak di sepanjang perjalanan.
Bagi memastikan persaingan yang adil dan tahap kecekapan bahan api boleh dicapai dalam keadaan dunia sebenar, setiap Almera Turbo berkenaan mestilah berada dalam keadaan asal, tidak diubah suai, mematuhi spesifikasi kilang dan dikeluarkan di antara tahun 2020 hingga 2024.

Kereta yang mengambil bahagian perlu mengekalkan tempat duduk asal, kad pintu dan roda ganti di dalam but masing-masing. Pemandu dikehendaki ditemani seorang penumpang yang berumur 18 tahun dan ke atas. Bukan itu sahaja, tempat kawalan pendingin hawa juga ditutup dan ditetapkan pada suhu 19 darjah selsius dengan 3 kelajuan blower.
Ini sedikit tips untuk anda yang ingin menjimatkan penggunaan bahan api. Antaranya, jaga jarum rpm anda agar tidak melebihi 2,000rpm pada kebanyakan masa, tidak membrek dan memecut secara mengejut, kurangkan rintangan angin dengan memandu di belakang bas atau lori dan pastinya beli kereta yang jimat minyak macam Almera Turbo.
Setelah lenguh kaki memandu dengan penuh hati-hati, semua peserta akhirnya tiba di stesen minyak BHPetrol di Bandar Seri Botani, Ipoh. Kemudian kami bergerak pula ke restoran UNITI Republic untuk makan tengah hari. Di sana, para pemenang akhirnya diumumkan dan keputusannya adalah seperti berikut:

“Kami berbesar hati kerana dapat menganjurkan Nissan Lightfoot Quest sekali lagi untuk mempamerkan kecekapan bahan api Nissan Almera 1.0L Turbo yang luar biasa. Almera Turbo bukan sahaja bergaya dan seronok dipandu, rangkaian kuasa pengecas turbonya yang maju membolehkannya bertindak secara responsif dan berjimat dalam penggunaan harian.
“Memandangkan harga petrol yang dijangka naik dalam masa terdekat, Almera Turbo merupakan pilihan yang lebih menarik dalam segmen B-sedan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ETCM, Khoo Cheng Pah.
GALERI












