Buletin

NISSAN ALTIMA 2023 FACELIFT DENGAN GRIL YANG LEBIH BESAR

Nissan Altima merupakan sedan saiz pertengahan yang sudah muncul di pasaran sejak tahun 2019 lagi, dan versi facelift yang baharu sahaja dilancarkan menyerlahkan lagi rupa paras sedan tersebut tatkala segmen sedan makin mengecil.

Versi facelift kali ini membawakan perubahan di mana bahagian hadapan telah kehilangan elemen krom, diikuti dengan rekaan gril yang lebih besar dan logo Nissan baharu di bahagian tengah.

Unit lampu utama masih lagi mengekalkan bentuk yang sama, namun dengan susun atur yang sedikit berbeza untuk bahagian depan.

Selain daripada itu, tiada perubahan yang ketara melainkan rekaan rim baharu bersaiz 17 inci untuk varian SV, sementara varian lain mendapat rim bersaiz 19 inci yang direka semula.

Untuk ruang kabin, skrin infotainmen bersaiz 12.3 inci baharu menggantikan unit paparan lapan inci, selain menyokong sambungan Apple CarPlay dan boleh berfungsi sebagai hotspot Wi-Fi. Terdapat pad pengecasan peranti pintar nirwayar disertakan.

Ciri keselamatan Safety Shield 360 adalah standard untuk semua varian yang merangkumi brek kecemasan autonomi dengan pengesan pejalan kaki, brek automatik belakang, amaran keluar lorong, amaran titik buta berasaskan radar, amaran lintasan trafik belakang dan bantuan suluhan tinggi.

Tiada sebarang perubahan trenkuasa, di mana pembeli boleh mendapatkan Altima dengan nadi 2.0 liter turbo (248 hp/370 Nm) atau enjin NA 2.5 liter yang menghasilkan 188 hp/244 Nm untuk versi pacuan depan, atau 182 hp/241 Nm untuk versi pacuan semua roda.

Kesemua varian hanya dipadankan dengan transmisi CVT sahaja.

Google ads
Back to top button