TOYOTA SEDANG PERTIMBANG SEDAN GR BERPRESTASI TINGGI – ADAKAH GR COROLLA SEDAN?
Selepas kehadiran GR Supra, GR86, GR Yaris dan GR Corolla, tinggal bentuk badan sedan sahaja yang masih lagi belum diletakkan lencana GR secara rasmi.
Itu merupakan antara model yang sedang dipertimbangkan oleh Toyota kelak, berdasarkan temubual MotorTrend bersama Naib Presiden Eksekutif Jualan Toyota Motor North America, Bob Carter.
Ketika ditanya model manakah yang bakal di-GR-kan, Bob memberitahu Motor Trend “nantikan kemunculannya” tanpa memberitahu butiran jelas berkenaan model GR tersebut.
Di pasaran Amerika Syarikat, Toyota hanya menawarkan empat buah model sedan, iaitu Corolla, Camry, Avalon dan juga Mirai.
Jika difikir secara logik, tidak mungkin Toyota akan memperkenalkan Mirai edisi pantas memandangkan pasaran sedan hidrogen tersebut adalah sangat kecil.
Jadi, ada kemungkinan dua buah model yang bakal mendapat lencana GR, iaitu GR Corolla sedan atau GR Camry.
Dalam pada itu, Toyota juga sedang mempertimbangkan langkah elektrifikasi sebagai masa depan jenama GR.
Menurut Naib Presiden Strategi dan Perancangan Produk Toyota Amerika, Cooper Erickson memberitahu, “Untuk jangka masa yang panjang, kami sedang memikirkan apakah langkah yang terbaik untuk menterjemahkan GR, dan kaitannya dengan elektrifikasi.
Sementara itu terdapat laporan daripada Jepun yang menyebut Toyota sedang membangunkan GR Corolla versi sedan yang dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Subaru, memandangkan jenama rakan teknikal Toyota itu kini mengesahkan tidak akan hadir dengan model WRX STI untuk generasi terkini.
Sumber: Motor Trend