
SKODA POPULAR MONTE CARLO – INILAH DIA MOYANG MONTE CARLO UNTUK SKODA
Anda mungkin pernah terbaca artikel mengenai model Skoda varian Monte Carlo, tanpa kita ketahui apakah asal usul model tersebut. Inilah dia model asal varian Monte Carlo dalam keluarga pembuat dari Czechoslovakia, Skoda Popular.
Asalnya Skoda Popular adalah merupakan model kereta keluarga yang mampu milik dikeluarkan antara tahun 1933 hingga 1946. Dan apa pula kaitan Skoda dengan nama Monte Carlo ini sebenarnya? Seperti yang kita sedia maklum, perlumbaan Monte Carlo Rally ini dianggap sebagai perlumbaan yang cukup berprestij sementelah ianya telah diadakan sedari tahun 1911 lagi lamanya.

Pada Januari 1936, sebuah model roadster, Skoda Popular telah mengambil bahagian berjaya menduduki tempat kedua bagi kategori bawah 1500cc. Ternyata Skoda Popular tersebut telah berjaya mengharungi perlumbaan di Monte Carlo dalam kondisi yang cukup ekstrem. Rentetan daripada kejayaan tersebut, Skoda mengambil keputusan untuk membina model istimewa dalam jumlah yang terhad berdasarkan model coupe roadster. Hasilnya model sulung tersebut telah diserahkan kepada pemilik pertama pada Julai 1936.

Model yang dianggap cukup racing itu dijanakan oleh enjin empat silinder dengan kapasiti 1.4 liter dan berupaya menghasilkan kuasa sekitar 31 HP (23 kW) dengan padanan kotak gear tiga kelajuan. Itu jam kira cukup berkuasa dah, apatah lagi dipadankan dengan rekaan badan yang cukup sporty. Transmisi tiga kelajuan tersebut telah disalurkan ke gandar belakang yang turut dipacu oleh rekaan transaxle yang canggih di kala itu serta mempunyai sistem ampaian individu.

Kesemua faktor ini menyumbang kepada kestabilan kereta yang cukup baik. Sistem brek hidraulik moden serta rak stereng yang tepat turut meningkatkan ciri pemanduan dinamik model Popular Monte Carlo ini serta berupaya mencatat kelajuan maksimum sehingga 110 km/j.
Dan selepas beberapa puluhan tahun, Skoda kembali menghidupkan semula jenama Monte Carlo terhadap model keluaran mereka seperti Citigo, Rapid Spaceback, Scala, Kamiq dan sudah tentu model popular, Fabia. Maka tidak hairanlah DNA rali sudah lama wujud dalam diri si Fabia.
BACA : SKODA FABIA MONTE CARLO BAHARU – LEBIH LAWA DAN LEBIH LAJU
BACA : ŠKODA FABIA COMBI MONTE CARLO 2019 – WAGON KOMPAK ELEGAN

