Buletin

NISSAN DEDAH MODEL KONSEP HYPER TOURER DI JAPAN MOBILITY SHOW 2023

Bersempena Japan Mobility Show 2023, Nissan baru-baru ini mengumumkan bakal memperkenalkan sebuah lagi model konsep kenderaan elektrik (EV) iaitu Nissan Hyper Tourer.

Menurut Nissan, Nissan Hyper Tourer menggabungkan intipati omotenashi (keramahan Jepun) dengan pelbagai teknologi canggih, termasuk pemanduan autonomi selain, dilengkapi fungsi V2X (Vehicle-to Everything).

Dari luaran, ia tampil dengan panel badan yang licin dan garis tajam bersama rekaan sisi mengalir dari fender hadapan ke belakang yang lebih tinggi sekali gus memberikan aerodinamik lebih baik.

Di bahagian dalam, ia direka dengan ruang yang luas, hasil dari bantuan Nissan EV Technology Vision, di mana ia juga menyatukan pelbagai komponen padat dan bateri solid-state.

Ia turut digabungkan bersama sistem kawalan semua roda e-4ORCE yang menghasilkan pecutan dan nyahpecutan lebih lancar.

Ciri menarik lain terdapat pada Hyper Tourer termasuklah tempat duduk hadapan boleh berpusing 360 darjah serta paparan tengah di tempat duduk hadapan.

Paparan tengah berkenaan boleh dikawal oleh penumpang dan sistem kecerdasan buatan (AI) bagi memantau pemandu dan penumpang.

Tambah Nissan, Hyper Tourer berupaya memberikan pengalaman baharu kepada pengguna dengan gayanya yang futuristik serta menawarkan keselesaan.

Google ads
Back to top button